malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Orang ramai teruja pembukaan semula Taman Tasik Titiwangsa
ADS

Sesak, namun berbaloi. Pembukaan semula Taman Tasik Titiwangsa di ibu negara sememangnya dinanti sehingga ramai tidak kisah berkunjung dari awal pagi dan bersesak untuk merasai sendiri pengalaman landskap baru.

Keterujaan setiap pengunjung dapat dirasai dengan melihat kepada kawasan taman berkenaan yang sesak dengan kenderaan, dan boleh dikatakan ribuan manusia dari pelbagai lapisan umur memenuhi hampir setiap inci ruangan taman berwajah baru itu ketika tinjauan Bernama kira-kira pukul 9.00 pagi tadi.

Mengambil peluang cuti sekolah, Nasri Hashim, 40, yang berkunjung bersama keluarganya berkata Taman Tasik Titiwangsa mempunyai banyak perubahan dari segi landskap dan kemudahan yang menarik minat pengunjung.

“Sekarang Taman Tasik Titiwangsa yang berwajah baru nampak lebih menarik dari segi landskap dan kemudahan yang baik seperti tandas yang bersih dan tempat riadah yang lebih seronok bersama keluarga,” katanya.

Taman Tasik Titiwangsa yang dibuka semula hari ini selepas ditutup sejak 1 September 2018 untuk pengubahsuaian, memperkenalkan pelbagai tarikan baru yang menarik seperti Taman Tema Air dan Kanopi Banjaran Titiwangsa.

Seorang lagi pengunjung, Azim Razak, 19, yang merupakan penuntut di sebuah universiti awam mengagumi pembaharuan yang dilakukan yang menurutnya menjadikan suasana lebih ceria dan selamat, teurtama bagi mereka yang memilih untuk bersiar secara berseorangan.

Pembaharuan taman berkenaan turut memperkenalkan trek berbasikal sepanjang 2.5 kilometer, yang menurut seorang pengunjung Qasrina Kasim, 41, memudahkan penunggang basikal dan lebih selamat kerana dibina secara berasingan dengan trek pejalan kaki.

Bukan hanya pengunjung tempatan, taman berwajah baharu berkenaan turut mendapat pujian pengunjung dari Itali, Monica Taylor, 56.

“Tempat ini amat santai, sangat hijau dan bagus kerana ia berhampiran dengan pusat bandar. Seronok dapat berjalan-jalan di sini apabila cuaca tidak terlalu panas. Perbezaan di sini (Malaysia) dan di sana (Itali) adalah iklim, tetapi bersantai di sini sentiasa baik.

“Kebersihan di sini juga baik, anda tidak nampak sebarang sampah walaupun ada ramai orang di sini, sangat bersih. Ada banyak yang bawa keluarga ke sini, jadi tempat ini memang nampak selamat,” katanya ketika ditemui di Taman Tasik Titiwangsa.

Berasal dari kolam bekas lombong yang terdalam selepas Tasik Mines, di Seri Kembangan, Taman Tasik Titiwangsa ini dibuka secara rasmi buat pertama kali pada 1 Februari 1980 oleh Allahyarham Tun Hussein Onn.

- Bernama

Lihat Komen