malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kabinet setuju penubuhan Majlis Media M'sia - Timbalan menteri
ADS

Kabinet baru-baru ini secara dasar bersetuju dengan penubuhan Majlis Media Malaysia (MMC), kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Eddin Syazlee Shith.

Beliau berkata mesyuarat pertama mengenai majlis berkenaan dijangka akan diadakan minggu hadapan, dipengerusikan oleh beliau sendiri, dengan disertai bersama lapan individu yang mewakili media, dan ia akan membincangkan aspek mengenai kerangka penubuhannya.

"Penubuhan MMC ini bertepatan masanya, bagi memastikan masa depan dan kebajikan pengamal media dalam negara lebih terjamin. Saya percaya dengan penubuhan MMC ini banyak perkara berkaitan dengan masalah pengamal media akan dapat diatasi dari semasa ke semasa," katanya di Kuala Pilah, hari ini.

Bercakap kepada pemberita selepas menutup Pesta Bola Ngoca 2019 di Empang Bangkung, Juasseh, di Kuala Pilah, ahli parlimen Kuala Pilah itu berkata keanggotaan majlis berkenaan akan diumumkan dalam masa terdekat.

Majlis Media Malaysia adalah sebuah badan kawal selia kendiri yang boleh meletakkan standard yang tinggi bagi komuniti media untuk membantu membina dan mengekalkan kepercayaan rakyat kepada industri berkenaan dan bertindak sebagai sebuah badan timbang tara antara rakyat dan pihak media demi kepentingan seluruh rakyat Malaysia.

Terdahulu pada program berkenaan, pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan muncul juara pertandingan bola sepak sawah dan membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000, manakala Veteran DBKL, Kuala Lumpur, naib johan dan meraih RM7,000 serta Baling FC, Kedah ditempat ketiga dan membawa pulang wang tunai RM5,000.

- Bernama

Lihat Komen