malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Guan Eng: Genius jika boleh belajar Jawi dengan 3 halaman
Diterbitkan:  Dec 15, 2019 8:30 PM
Dikemaskini: 12:38 PM
ADS

Pengajaran tulisan Jawi sepanjang tiga halaman di sekolah cuma pengenalan  terhadap suatu sistem bahasa, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng hari ini.

"Sekiranya kita dapat mempelajari Jawi hanya dengan tiga muka surat, maka kita adalah genius. Pelajaran ini tidak wajib dan akan diputuskan oleh ibu bapa," jelas Lim yang juga menteri kewangan pada konvensyen DAP Pulau Pinang di Prai, Pulau Pinang.

"Jika ibu bapa tidak mahu, okay, kami tidak akan memperkenalkannya," tegasnya.

Lim menarik persamaan dengan aksara purba Cina yang merupakan asal-usul tulisan Mandarin.

"Boleh kamu kuasai tulisan purba Cina (Jiaguwen) hanya dengan tiga muka surat? Mustahil.

"Menggunakan logik yang sama, kamu tidak boleh menguasai tulisan Jawi dengan tiga halaman," katanya.

Kenyataan Lim selepas Kementerian Pendidikan menafikan telah mengetepikan pandangan lembaga pengurusan sekolah mengenai penggunaan tulisan Jawi dalam buku teks bahasa Malaysia di semua sekolah, termasuk di sekolah vernakular.

Pada 13 Disember, Timbalan Menteri Pelajaran Teo Nie Ching berkata kementerian mengutamakan pendapat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta ibu bapa dan pelajar sendiri sebelum membuat keputusan mengenai perkara itu.

Lim berkata ibu bapa boleh membuat pilihan sama ada untuk membenarkan atau tidak, anak-anak mereka mempelajari asal-usul tulisan dalam bahasa Melayu.

Beliau menyorot kembali bahawa MCA, semasa menjadi sebahagian parti pemerintah kerajaan terdahulu, juga telah membangkitkan isu pelajaran Jawi.

Pada 2014, kerajaan BN mahu mempromosikan untuk mewajibkan pengajaran tulisan Jawi di sekolah, kata Lim.

Beliau menjelaskan selepas Pakatan Harapan berkuasa, mata pelajaran itu diubah daripada wajib kepada subjek pilihan.

"Buat pertama kali dalam sejarah, ibu bapa boleh membuat keputusan. Sebelum ini, bagaimana ibu bapa membuat keputusan?" Soal MP Bagan.

"Jika tidak ada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), maka kami akan membiarkan lembaga pengurusan sekolah memutuskannya. Ini keputusan kabinet," kata Lim lagi.

Lim juga menjelaskan pengenalan tulisan Jawi bukan untuk pengajaran, pembelajaran, menulis atau untuk peperiksaan.

"Ia hanya untuk memperkenalkan Jawi sebagai asal-usul tulisan bahasa Melayu," katanya.

Kumpulan pendidikan Cina terus kecewa dengan garis panduan pengajaran terkini untuk pelajaran tulisan Jawi.

Pelajaran tulisan Jawi sepanjang tiga muka surat ini telah ditunjukkan kepada pihak berkepentingan pada Ogos lalu tetapi pada ketika itu Kementerian Pendidikan memberitahu ia mungkin tertakhluk kepada perubahan.

Suatu kumpulan bertindak membantah pelaksanaan pelajaran ini berkata merancang untuk membawa isu pengajaran tulisan Jawi tiga muka surat tersebut ke mahkamah.

Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) akan mengadakan persidangan pertubuhan Cina pada 28 Disember ini.

[Baca berita asal]

Lihat Komen