malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Geramm bimbang lebih 1,000 kakitangan Media Prima dijangka hilang kerja
Diterbitkan:  Dec 15, 2019 1:56 PM
Dikemaskini: 5:56 AM
ADS

Gerakan Media Merdeka (Geramm) memandang serius perkembangan pengecilan operasi syarikat Media Prima Berhad sekali gus menuntut pampasan setimpal bagi kakitangan yang akan kehilangan pekerjaan.

Kumpulan prokebebasan media itu berkata pihak mereka difahamkan lebih separuh kakitangan syarikat berkenaan akan kehilangan pekerjaan.

"Jumlah terlibat dijangka mencapai lebih 1,000 orang kakitangan bertugas, melibatkan rangkaian akhbar News Straits Times Bhd serta rangkaian digital Media Prima.

"Surat rasmi dijangka akan diserahkan pada Isnin (esok), walaupun difahamkan ada di kalangan pekerja terbabit sudah dimaklumkan lebih awal tentang nasib mereka," kata Geramm dalam kenyataan media, hari ini.

Terdahulu media tempatan melaporkan pengecilan syarikat itu akan berkuat kuasa sepenuhnya Mac tahun depan.

Ia turut melibatkan penutupan pejabat syarikat itu di kebanyakkan negeri di seluruh Malaysia.

Geramm berkata, walaupun pihaknya memahami bahawa keputusan itu adalah untuk kelangsungan syarikat, pihak pengurusan masih perlu memastikan pampasan setimpal diberikan kepada mereka yang terjejas.

"Mereka ini difahamkan telah diletakkan oleh pengurusan untuk tugas bukan kewartawanan, melibatkan bahagian pengiklanan dan pengurusan bilik berita, yang mana majoriti kakitangan bawahan kini berhadapan dengan risiko kehilangan pekerjaan.

"Kami menyeru agar syarikat-syarikat lebih menitikberatkan pekerja yang berhempas pulas dan bergantung harap demi industri kewartawanan di negara ini.

"Penting juga untuk kami merujuk kepada pemilikan syarikat media oleh mereka yang sama ada terlibat atau berhubungan terus dengan entiti atau pemimpin politik," kata kenyataan itu.

Geramm turut menyatakan kebimbangan perkembangan itu akan memberi kesan secara langsung kepada peranan kewartawanan.

"Betapa ia mengecilkan lagi skop dan peranan kewartawanan sebagai badan semak imbang dan penyalur maklumat kepada masyarakat.

"Justeru, Geramm turut ingin menyuarakan hasrat #kawangeramm agar kemelut yang melanda ini tidak dipolitikkan oleh mana-mana pihak bagi kepentingan peribadi individu.

"Tindakan sedemikian bukan sahaja tidak akan membantu menyelesaikan masalah yang berlaku, tetapi sebaliknya mengeruhkan lagi keadaan. Fokus utama harus diberikan kepada usaha membela hak pekerja-pekerja terlibat," kata kenyataan itu.

Lihat Komen