malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pasangan pengantin baru APM ketepi bulan madu bantu mangsa banjir
ADS

Sanggup mengorbankan masa ‘berbulan madu’ mereka demi berkhidmat kepada masyarakat, itulah yang dilakukan oleh sepasang pengantin baru yang bertugas sebagai anggota Pertahanan Awam Malaysia (APM) di daerah ini.

Pasangan berkenaan, Mohd Nor Azwan Aziz, 27, dan Nur Diyana Khairul Anuar, 24, berkata mereka baru melangsungkan pernikahan dan persandingan di Taman Permata, di Kluang dua hari lepas (13 Dis).

Namun, semalam mereka menerima tugasan untuk membantu mangsa banjir yang dipindahkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Lukut, Kahang, di Johor.

“Tiada sesiapa memaksa kami untuk bertugas di PPS SK Kahang ini. Jika diikutkan, sememangnya kami masih bercuti.

“Tetapi disebabkan rasa tanggungjawab kepada masyarakat, kami dengan rela hati menawarkan diri untuk bertugas dan memutuskan untuk menyertai anggota APM yang lain untuk membantu mangsa banjir,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di PPS berkenaan, malam tadi.

Jelas Nor Azwan lagi, di PPS terbabit, dia bersama isterinya (Nurdiyana) bertugas secara giliran selama lapan jam dengan anggota APM yang lain setelah ia dibuka semalam pada 10 pagi.

Sebaik PPS itu dibuka, ia telah menempatkan 37 mangsa daripada 11 keluarga di sekitar kawasan berhampiran yang dilanda banjir sehingga ke paras lutut akibat hujan tanpa henti hampir 12 jam.

“Setelah lapan tahun berkhidmat sebagai anggota APM, pelbagai pengalaman telah saya tempuhi namun bertugas ‘bersama isteri’ adalah satu pengalaman yang cukup berharga buat kami.

“Bagaimanapun saya dan isteri sekali lagi menegaskan yang kami bertugas ini adalah demi tanggungjawab kami sebagai anggota penyelamat yang tugas kami membantu dan menyelamat mereka yang memerlukan,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen