malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Guan Eng ingatkan ahli DAP jangan buang masa persoal isu peralihan PM
ADS

Setiusaha Agung DAP Lim Guan Eng mengingatkan agar ahli-ahli partinya tidak membuang masa mempersoalkan isu peralihan kuasa perdana menteri.

Jelas Lim, tiada pihak yang seharusnya mempersoalkan peralihan jawatan perdana menteri dari Dr Mahathir Mohamad kepada presiden PKR, Anwar Ibrahim kerana ia kemungkinan akan berlaku selepas Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2020 yang akan berlangsung pada Nov tahun depan.

"Jangan buang masa mempersoalkan peralihan kuasa ini, dan jangan biarkan ada mana-mana pihak yang masih mempersoalkannya kerana ia mungkin akan berlaku selepas APEC 2020," kata Lim kepada 372 perwakilan dalam konvensyen hari ini.

Meskipun Dr Mahathir dan Anwar berulang kali memberi keyakinan peralihan kuasa itu akan berlaku seperti yang dipersetujui PH sebelum pilihan raya umum (PRU) ke-14, belum ada tarikh tepat dinyatakan.

Bagaimanapun, pada 11 Nov lalu, Dr Mahathir dipetik Reuters sebagai berkata bahawa beliau akan menyerahkan jawatan kepada Anwar selepas APEC 2020 yang akan diadakan di negara ini pada Nov tahun depan.

Sementara itu, Lim juga mengingatkan ahli parti agar tidak membuang masa mengenai masalah dalaman di khalayak ramai.

"Perselisihan dalaman perlu dibincangkan di belakang pintu tertutup, apa yang berlaku kepada rakan gabungan mempengaruhi pihak lain di PH juga," katanya.

Lim juga mengambil kesempatan untuk mengingatkan kesetiaan dan pengorbanan para pemimpin veteran parti.

Kata Lim, ramai pemimpin DAP telah dipenjarakan kerana berpegang pada prinsip mereka.

"Jangan lupa pengorbanan pemimpin veteran kita. Sebagai contoh, pemimpin kanan Lim Kit Siang, yang menolak jawatan menteri dan kekal sebagai ahli parlimen.

"Ia menunjukkan anda boleh menyumbang kepada parti dan negara tanpa memegang sebarang jawatan dalam kerajaan," kata Lim yang juga ahli parlimen Bagan.

Ketika ditemui selepas itu, Lim berkata beliau tidak berniat untuk campur tangan dalam politik PKR dengan menyentuh mengenai topik peralihan.

"Saya tidak memilih sebarang pihak tetapi kita perlu memastikan peralihan kuasa dilaksanakan dengan lancar," kata Lim kepada Malaysiakini.

"Peralihan kuasa yang lancar adalah perlu bagi Malaysia untuk mengekalkan kestabilannya supaya kita boleh menghadapi pilihan raya seterusnya dengan lebih yakin," tambah Lim.

Anggota parti komponen Pakatan Harapan lain yang menghadiri konvensyen itu ialah Timbalan Menteri Pelancongan dan Pengerusi PKR Pulau Pinang Muhammad Bakhtiar Wan Chik, Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Choo Kiang, Pengerusi Amanah negeri Roslan Ahmad dan Setiausaha Bersatu negeri Azahari Haris.

Lihat Komen