malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Anggota JPJ rempuh 5 kenderaan lepas didakwa samun OKU
ADS

Seorang lelaki yang memandu kereta Perodua Myvi merempuh beberapa kenderaan selepas dikejar sekumpulan penunggang motosikal kerana disyaki menyamun orang kelainan upaya (OKU) di Jalan Changkat di Kuala Lumpur, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 4.50 petang, suspek berusia 25 tahun yang juga anggota Jabatan Pengangkutan Jalan, merempuh lima kenderaan sepanjang Jalan Pudu di Kuala Lumpur untuk melarikan diri.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, ACP Zulkefly Yahya berkata berdasarkan keterangan saksi, lelaki terbabit dikatakan menolak lelaki OKU keluar daripada keretanya.

“Saksi yang melihat kejadian itu bertindak mengejar suspek serta meminta suspek memberhentikan kenderaan namun suspek terus melarikan diri dan melanggar beberapa kenderaan sebelum dia ditahan oleh orang awam di Jalan Brunei Utara pada 5.20 petang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata tiada individu yang cedera dalam kejadian itu dan lelaki terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk siasatan lanjut.

Dua rakaman video berdurasi 1 minit 29 saat dan 23 saat yang memaparkan suspek memandu Perodua Myvi merempuh beberapa kenderaan tular di laman sosial sejak semalam.

- Bernama

Lihat Komen