malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Deloitte fail semakan untuk batal denda RM2.2j S'jaya Sekuriti
ADS

Deloitte PLT telah menyeret Suruhanjaya Sekuriti (SC) ke mahkamah untuk membatalkan denda RM2.2 juta yang dikenakan terhadap firma gergasi perakaunan itu kerana didakwa gagal memaklumkan pelanggaran undang-undang berkaitan dengan 1MDB.

Firma pengauditan antarabangsa itu mendapat kebenaran Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 25 Nov untuk memulakan semakan kehakiman terhadap keputusan pengawalselia sekuriti Malaysia untuk mengenakan denda.

Pada 30 Jan, dilaporkan bahawa SC telah mendenda Deloitte sejumlah RM2.2 juta untuk empat pelanggaran yang melibatkan bon RM2.4 bilion (sukuk) yang dikeluarkan oleh anak syarikat 1MDB, Bandar Malaysia Sdn Bhd (BMSB) pada tahun 2014.

Dalam satu kenyataan, pengatur sekuriti berkata Deloitte adalah juruaudit berkanun bagi BMSB dan syarikat induk 1MDB Real Estate Sdn Bhd (1MDB RE) bagi tahun fiskal yang berakhir 31 Mac 2015 dan 2016.

Pada 1 Feb, dilaporkan bahawa Deloitte akan memohon semakan dengan SC berhubung denda RM2.2 juta yang dikenakan ke atas firma audit itu.

Melalui dokumen mahkamah yang dilihat Malaysiakini baru-baru ini, wakil guaman Deloitte, Messrs Malik Imtiaz Sarwar memfailkan permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 14 November lalu.

Melalui surat bertarikh 21 Nov yang dihantar kepada Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak membantah permohonan itu dan perkara tersebut kemudian dibawa ke hadapan Hakim Mariana Yahya pada 25 Nov.

Pada tarikh itu, mahkamah memberi kebenaran kepada Deloitte untuk meneruskan permohonan semakan kehakimannya. Perkara ini akan diteruskan ke peringkat pendengaran di mana peguam untuk kedua-dua Deloitte dan SC boleh mengemukakan sama ada mahkamah perlu membenarkan atau menolak semakan kehakiman itu.

Permohonan semakan Deloitte bertujuan untuk membatalkan keputusan semakan SC pada 19 Ogos lalu, yang mengekalkan denda RM2.2 juta terhadap Deloitte yang dikenakan pada 30 Jan tahun ini.

Berikutan pelupusan proses semakan SC, Deloitte membayar denda RM2.2 juta pada 4 September, manakala firma itu menyatakan denda itu dibayar tanpa menjejaskan haknya untuk memulakan prosiding semakan kehakiman terhadap pengawal selia sekuriti tersebut.

Kertas tuntutan saman menyatakan bahawa sebelum pengenaan denda pada 30 Januari tahun ini, Deloitte menerima surat tunjuk sebab daripada SC pada 7 September tahun lalu, berhubung dengan dakwaan melanggar Akta Pasaran dan Perkhidmatan Modal 2007 (CMSA) antara mereka yang menjadi Seksyen 354 (1) (a) dibaca bersama Seksyen 276 (1) dan 276 (3) (b) akta itu.

Deloitte mendakwa semakan yang telah dijalankan oleh SC pada tahun ini telah diadili sebelum keputusan dibuat dan mempamerkan kecenderungan sebelah pihak kerana pemohon didakwa dihukum dalam usaha untuk menangani salah laku yang dilakukan terhadap 1MDB.

Deloitte mendakwa ia telah dihukum untuk menghantar mesej ke pasaran yang lebih luas yang diawasi oleh SC, bersamaan dengan tujuan menjadikan firma audit itu sebagai contoh, dan dengan demikian melanggar hak asasnya untuk kesamaan di bawah undang-undang yang termaktub dalam Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.

Ia mendakwa keputusan SC untuk mengenakan denda telah melanggar peraturan keadilan semulajadi kerana tuduhan yang dibingkai dalam surat tunjuk sebab SC tidak jelas dan samar-samar.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen