malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Lagi sindiket penipuan babitkan warga China ditumpaskan
ADS

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak berjaya menumpaskan aktiviti penipuan dalam talian melibatkan warga China dalam operasi di Ipoh semalam.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata dalam operasi pada pukul 3.30 petang di dua rumah tiga tingkat di Gerbang Maju Rapat itu, seramai 65 warga China termasuk empat wanita berumur antara 17 hingga 55 tahun ditahan.

"Ketika serbuan, semua mereka sedang menjalankan aktiviti dalam talian.

"Sebaik menyedari kehadiran pegawai JIM mereka cuba melarikan diri hingga berlaku pergelutan dan ada di antaranya bertindak agresif, bagaimanapun keadaan dapat dikawal serta cubaan melarikan diri berjaya dipatahkan.

"Kesemua mereka dipercayai menjalankan aktiviti dalam talian sejak seminggu lepas," katanya dalam satu sidang media di Pejabat JIM Perak di Kompleks Kementerian Dalam Negeri di Ipoh malam ini.

Khairul Dzaimee berkata dalam serbuan tersebut, JIM turut merampas pelbagai peralatan, antaranya 232 unit telefon bimbit, 45 komputer riba, 26 skrin komputer, satu mesin swipe kad kredit, 140 keping pelbagai jenis kad bank dan 47 kad pengenalan China.

Kedutaan janji kerjasama penuh

Menurut Khairul Dzaimee semua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen perjalanan sah dan Seksyen 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial atau pas kerja.

Beliau berkata pihak JIM akan bekerjasama dengan agensi lain seperti Bank Negara Malaysia, Polis Diraja Malaysia serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bagi mengekang penipuan dalam talian.

Dalam pada itu, Khairul Dzaimee turut menafikan pembabitan kakitangan JIM dengan aktiviti penipuan dalam talian di Cyberjaya yang diserbu pada 20 Nov lalu dan menyatakan siasatan kes telah selesai.

Antara barang rampasan dalam operasi di Cyberjaya baru-baru ini

Katanya kesemua 680 warga China yang ditahan di Cyberjaya itu akan didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang esok dan Isnin.

"Saya telah berhubung dengan Duta China dan mereka akan memberikan kerjasama sepenuhnya serta berharap supaya pendakwaan dibuat dengan segera supaya mereka ini boleh diusir keluar.

"Tindakan JIM pula selepas selesai proses pendakwaan mereka akan diusir dan disenaraihitamkan daripada memasuki Malaysia selama-lamanya," katanya.

Katanya, setakat ini JIM telah menahan seramai 941 warga China dalam pelbagai operasi membanteras aktiviti penipuan dalam talian iaitu 680 orang pada 20 Nov di Cyberjaya, 104 orang pada 26 Nov di Sabah, 52 orang pada 29 Nov di Sarawak serta di Perak 105 orang pada 9 dan 12 Dis.

- Bernama

Lihat Komen