malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Persatuan insurans gesa hospital swasta lebih telus dalam caj rawatan
ADS

Pemain-pemain industri insurans dan takaful menggesa semua hospital swasta mengamalkan ketelusan harga dalam caj-caj perubatan bagi menggalakkan persaingan sihat di samping menawarkan kadar harga rawatan yang berpatutan kepada orang ramai.

Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM), Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) dan Persatuan Takaful Malaysia (MTA) dalam satu kenyataan bersama hari ini berkata ketelusan harga amat penting kepada syarikat insurans dan juga pelanggan, dalam membuat keputusan yang lebih bermaklumat semasa membuat pilihan rawatan.

"Kami menyambut baik langkah Kementerian Kesihatan memberikan mandat kepada pendedahan bayaran rundingan terlebih dahulu dan kami percaya ia seharusnya diperluaskan kepada caj-caj prosedur perubatan biasa di semua hospital swasta.

"Ini akan membantu orang ramai membuat keputusan yang lebih bermaklumat berhubung kos rawatan. Dalam perkara ini hospital-hospital swasta di Malaysia perlu mempamerkan kos purata sebenar mereka, sebagaimana yang diamalkan di beberapa negara luar.

"Ketelusan dalam caj-caj perubatan akan menggalakkan persaingan dan diharapkan ia akan membantu untuk mengawal harga dalam jangka masa panjang,” menurut kenyataan itu.

Pada 6 Dis Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengumumkan keputusan kabinet untuk menyelaras semula bayaran rundingan doktor di klinik dan hospital swasta.

Dalam kenyataan hari ini, persatuan-persatuan berkenaan berharap Kementerian Kesihatan akan mengkaji kemungkinan menetapkan penanda aras kepada harga ubat dan bekalan farmasi.

Menurut kenyataan itu jumlah perbelanjaan kuntuk kesihatan pada tahun lepas menjangkau RM60.147 bilion di mana 52 peratus dibiayai oleh kerajaan dan bakinya dibayar oleh isi rumah sendiri (35 peratus), insurans swasta (tujuh peratus), perbadanan (empat peratus) dan lain-lain agensi (dua peratus).

Mereka berkata sekiranya kos penjagaan kesihatan tidak dikawal, peningkatan dalam premium bagi insurans perubatan dan kesihatan tidak akan dapat dielakkan lagi.

“Sekiranya insurans perubatan tidak mampu lagi diperoleh ramai, ia akan menjadikan lebih ramai peskit mendapatkan rawatan di hospital-hospital kerajaan, dan bagi sesetengahnya pula mereka masih mendapatkan rawatan di klinik-klinik swasta, tetapi pada kos yang tinggi,” menurut kenyataan itu.

- Bernama

Lihat Komen