malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kekecewaan Nungsari kejutkan Loke
Diterbitkan:  Dec 12, 2019 9:58 PM
Dikemaskini: 1:58 PM
ADS

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata beliau terkejut dengan reaksi kecewa Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom), Dr Nungsari Ahmad Radhi, ekoran keputusan kerajaan berkaitan kedudukan agensi itu.

Jelas Loke, keputusan untuk menggabungkan Mavcom dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dibincangkan oleh kabinet sebelum hal itu diputuskan semalam.

Justeru kata Loke, tidak mungkin untuk beliau memaklumkan hal berkenaan terlebih awal kerana perbincangan itu adalah rahsia.

Kata Loke tidak wajar untuk beliau memberitahu hal tersebut kepada Nungsari sebelum kabinet membuat keputusan mengenainya.

"Saya terkejut kenapa Nungsari kecewa," katanya seperti dipetik Sinar Online hari ini.

Loke ditemui media selepas merasmikan hab kargo udara di Sepang hari ini.

Tedahulu The Edge - yang memetik sumber tidak dinamakan - hari ini melaporkan persetujuan kerajaan meningkatkan kuasa CAAM.

Paling kurang enam bulan

Nungsari kemudian mengulas, persetujuan tersebut mungkin menyebabkan Mavcom terbubar dan Akta Mavcom 2016 dimansuhkan.

"Keputusan kerajaan untuk memansuhkan Akta Mavcom adalah keputusan bahawa tiada keperluan untuk pengatur ekonomi bebas bagi industri penerbangan yang melihat isu pelesenan komersil, persaingan, serta kebajikan pengguna dan kewajiban perkhidmatan awam, fungsi yang tidak wujud sebelum Mavcom ditubuhkan," katanya.

Nungsari berkata lagi, beliau akan memberi tumpuan terhadap kebajikan pekerja Mavcom terlebih dulu, sebelum isu "penyerahan" peranan Mavcom dilakukan.

Menerusi kenyataan media Nungsari turut menyatakan rasa kecewa kerana keputusan dibuat dengan "agak menghina" dan tidak memberi imej yang baik pada pihak yang terlibat.

Loke berkata selepas mendapat kelulusan kabinet, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan akan memaklumkan perkara itu kepada Mavcom serta membentuk petugas khas bagi mengkaji pelbagai isu termasuk kebajikan, perjawatan dan sebagainya.

Jelasnya ahli parlimen Seremban itu lagi, pemindahan fungsi utama Mavcom kepada CAAM bakal memakan masa sekurang-kurangnya enam bulan.

Lihat Komen