malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kebakaran anjung sebuah rumah, 3 kenderaan tiada unsur jenayah
ADS

Polis tidak menemui sebarang unsur jenayah dalam insiden kebakaran melibatkan sebuah rumah dan tiga kenderaan di Jalan Dato Sagor, Kuala Kangsar, pada Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, ACP Razali Ibrahim berkata kes diklasifikasikan sebagai ‘open flame’ oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

“Kejadian disyaki tiada motif jenayah memandangkan semua mangsa adalah orang kampung yang lanjut usia dan golongan sederhana.

“Tiada sebarang cecair atau medium pembakar digunakan. Bagaimanapun siasatan akan dijalankan berdasarkan laporan pihak bomba,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Razali berkata dalam kejadian pertama 10 Dis lepas, polis menerima laporan daripada seorang pengadu bahawa motosikal jenis Modenas Kriss miliknya terbakar pada bahagian tayar belakang kira-kira pukul 12.55 pagi di sebuah rumah di jalan berkenaan.

“Bagaimanapun motosikal tersebut sempat dipadam dengan air. Tiada sebarang bahan pembakar ditemui dan bomba telah ambil beberapa sampel pada badan motosikal untuk analisis,” katanya.

Razali berkata selang satu jam kemudian, kira-kira pukul 2 pagi, seorang wanita melaporkan berlaku satu kebakaran kecil pada kereta Perodua Kancil miliknya ketika beliau berada di rumahnya di Kampung Laksa, di jalan yang sama.

”Kebakaran sempat dipadam namun serpihan api menyebabkan kereta bersebelahan iaitu jenis Proton Saga terkopek cat,” katanya dan menambah pihak bomba telah mengambil beberapa sampel untuk dianalisis.

Pada waktu yang sama juga, Razali berkata pihaknya menerima laporan melibatkan kebakaran di anjung ruang tamu yang menyebabkan lantai ruang tamu hangus terbakar di sebuah rumah jenis kayu satu tingkat, juga di kampung yang sama.

“Tiada sebarang bahan pembakar ditemui dan beberapa sampel diambil oleh forensik untuk analisis,” katanya.

-Bernama

Lihat Komen