malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Zahid terima gaji, elaun lebih RM83,600 sebulan
ADS

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu, bekas Timbalan Perdana Menteri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerima gaji dan elaun berjumlah RM44,383.15 sebulan untuk jawatan itu.

Setiausaha (Hal Ehwal Perlembagaan dan Parlimen), Bahagian Kabinet, Perlembagaan dan Perhubungan Antara Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri, Daman Huri Nor, berkata semasa memegang jawatan itu sejak 28 Julai 2015 hingga 9 Mei 2018, Ahmad Zahid menerima gaji hakiki RM18,168.15 sebulan manakala elaun RM26,215.

Katanya bagi gaji hakiki yang diterima Ahmad Zahid sebagai Menteri Dalam Negeri bermula 16 Mei 2013 sehingga 27 Julai 2015 pula adalah RM14,907.20 manakala elaun yang diperoleh sebanyak RM24,320.

"Elaun-elaun yang diterima beliau adalah berdasarkan ketentuan elaun dan keistimewaan bagi timbalan perdana menteri dan menteri Persekutuan (pindaan hingga November 2014)," katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Alif Ali.

Daman Huri berkata demikian semasa membacakan penyataan saksi pada hari ke-12 perbicaraan kes Ahmad Zahid yang berdepan 47 pertuduhan melibatkan dana Yayasan Akalbudi berjumlah jutaan ringgit.

Saksi pendakwaan ke-22 itu turut mengecam dokumen perakuan tentang kedudukan atau jawatan dipegang Ahmad Zahid yang dikemukakan kepadanya oleh Mohd Alif.

Sementara itu, saksi lain, Ketua Pegawai Eksekutif Armada Holdings Sdn Bhd, Wasi Khan @ Wasiyu Zama Israr Ahmad, 50, tidak bersetuju dengan cadangan peguam Rosal Azimin Ahmad bahawa pinjaman dana Yayasan Akalbudi RM10 juta kepada syarikat Armada Holdings Sdn Bhd adalah untuk pelaburan.

Rosal: Datuk setuju jika saya kata pelaburan ini bertujuan untuk mendapatkan keuntungan kepada Yayasan Akalbudi?

Wasi: Tidak setuju.

Wasi juga tidak bersetuju dengan cadangan Rosal bahawa Ahmad Zahid mempunyai kepentingan dalam syarikat Armada Holdings Sdn Bhd.

Semalam, Wasi berkata Ahmad Zahid telah meminjamkan dana Yayasan Akalbudi RM10 juta kepada syarikat Armada Holdings Sdn Bhd iaitu sebuah syarikat pengimport dan pembekal arang batu selepas diperkenalkan oleh Khalid Mohamad Jiwa atau lebih dikenal sebagai Datuk K.

Saksi pendakwaan ke-21 itu berkata pinjaman itu untuk pihaknya perlu modal berbayar RM10 juta sebagai memenuhi syarat minimum berdaftar untuk pembekal arang batu Indonesia bagi kontrak spot TNB Fuel Services Sdn Bhd.

Ahmad Zahid, 66, menghadapi 47 pertuduhan, dengan 12 daripadanya bagi pecah amanah (CBT), lapan bagi rasuah dan 27 bagi pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung 11 Feb depan.

- Bernama

Lihat Komen