malaysiakini logo
story-image
ADS

Polis menahan dua beradik lelaki yang dipercayai aktif dalam kegiatan mencuri motosikal di sekitar daerah Kubang Pasu pada 4 Dis lepas.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Supt Mohd Ismail Ibrahim, berkata suspek yang berumur 24 dan 26 tahun itu dikenali sebagai Geng Anak Dahman.

Beliau berkata kedua-dua lelaki terbabit disyaki mengaburi mata orang ramai dengan menyamar sebagai pekerja sebuah syarikat pembersihan sebelum mencuri motosikal yang disasarkan.

"Kedua-dua suspek ditahan dalam Op Lejang ketika sedang menaiki sebuah motosikal di kawasan rumah tidak bernombor di Kampung Padang Satu, Bukit Kayu Hitam.

"Pemeriksaan lanjut di dalam rumah itu menemukan pelbagai komponen, enjin dan rangka motosikal.

"Hasil semakan mendapati enjin dan rangka motosikal itu adalah dari motosikal yang dilaporkan hilang oleh pemiliknya," kata Mohd Ismail pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu hari ini.

Mohd Ismail berkata hasil tangkapan kedua-dua suspek itu, polis menyerbu sebuah premis barang lusuh di Changlun, Isnin lepas dan menahan pemilik premis yang berumur 50 tahun yang mengaku membeli komponen motosikal daripada suspek.

"Premis ini merupakan lokasi suspek menjual enam motosikal yang dicuri sejak Mei hingga awal Dis lalu. Dengan penahanan suspek ini, polis berjaya menyelesaikan 11 kes curi motosikal yang dilaporkan di Kubang Pasu.

"Kedua-dua suspek ditahan reman sehingga Sabtu ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri motosikal," katanya.

- Bernama

Lihat Komen