malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Saksi tak pasti RM10 juta dari Akalbudi pelaburan atau tidak
ADS

Saksi yang semalam mengaku menerima pinjaman RM10 juta daripada Yayasan Akalbudi, hari ini tidak pasti sama ada sumbangan itu sebenarnya merupakan satu pelaburan atau pun tidak.

Dalam perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, ketua pegawai eksekutif dan pengarah Armada Holdings Sdn Bhd Wasi Khan @ Wasiyu Zama Israr Ahmad, memberikan jawapan tidak konkrit ketika menjawab sama ada pinjaman diterimanya itu sebenarnya satu pelaburan.

Namun, jawapan akhir Wasi terhadap soalan yang menjadi perkara utama dibangkitkan dalam sesi pemeriksaan balas dan pemeriksaan semula hari ini, ialah wang itu “boleh jadi pelaburan, dan boleh jadi bukan pelaburan”.

Semalam, Wasi dalam pernyataan saksinya, menjelaskan syarikatnya menerima cek bernilai RM10 juta dari Yayasan Akalbudi pada November 2015 setelah mengadakan pertemuan dengan Ahmad Zahid Hamidi yang merupakan timbalan perdana menteri ketika itu, bersama Khalid Mohamad Jiwa - atau lebih dikenali sebagai Datuk K.

Pertemuan itu diaturkan Khalid setelah syarikat Wasi memerlukan modal berbayar RM10 juta untuk memenuhi syarat minimum berdaftar sebagai pembekal arang batu Indonesia bagi kontrak TNB Fuel Services Sdn Bhd (TNB Fuel).

Zahid Hamidi

Menurut Wasi, cek berjumlah RM10 juta itu diserahkan kepadanya dalam pertemuan kali kedua dengan Ahmad Zahid di parlimen, dan pada waktu itu, Ahmad Zahid turut memberikan tempoh sebulan untuknya membayar semula pinjaman tersebut.

Namun, setelah mengetahui duit itu adalah dari “yayasan anak yatim dan orang miskin”, Wasi berkata dia berniat membayar balik pinjaman itu berserta faedah sekitar 4 peratus, iaitu sebanyak RM69,722.65, dikira dari tarikh 16 November 2015 hingga 12 Februari 2016.

Dalam pemeriksaan balas hari ini, peguam bela Rosal Azimin Ahmad yang mula-mula mencadangkan kepada Wasi bahawa tujuan sebenar cek yang dikeluarkan itu bukan merupakan satu pinjaman, tetapi pelaburan dari Yayasan Akalbudi.

Wasi menjawab tidak setuju.

Rosal: Dan pelaburan ini tujuannya untuk mendapatkan keuntungan bagi Yayasan Akalbudi, sekiranya tender (dari TNB Fuel) ini diperoleh?

Wasi: Tak setuju.

Namun, ketika ditanya pembayaran RM10 juta ditambah dengan faedah RM69,722.65 itu menyebabkan yayasan mendapat keuntungan, Wasi bersetuju.

Malah Rosal turut mencadangkan bahawa dalam beberapa pertemuan antara Khalid dan Ahmad Zahid yang tidak disertai Wasi, wang RM10 juta itu dipersetujui diberikan sebagai pelaburan oleh Yayasan Akalbudi dan bukannya pinjaman.

“Tidak dalam pengetahuan saya,” jawab Wasi.

Namun, ketika pemeriksaan balas disambung oleh peguam bela Ahmad Zaidi Zainal, Wasi bersetuju bahawa dia tidak akan tahu sekiranya Khalid ada berjumpa dengan Ahmad Zahid di belakangnya.

Wasi juga, kali ini menyatakan “bersetuju” dengan cadangan Ahmad Zaidi bahawa dalam pertemuan-pertemuan tersebut, Ahmad Zahid sebenarnya bersetuju untuk “melabur” dalam perniagaan melibatkan arang batu yang mahu diceburi Armada Holdings.

Ahmad Zaidi: Dan salah satu syarat tersebut tersebut, sekiranya ada keuntungan 51 peratus dari margin keuntungan akan pergi kepada Armada Holdings, dan 49 peratus akan pergi kepada Yayasan.

Wasi: Saya tak tahu kuantum (amaun).

Namun, selepas itu, Wasi menjawab “kemungkinan besar” wujud aturan untuk pengagihan keuntungan seperti dibangkitkan Ahmad Zaidi.

Sementara itu, semasa pemeriksaan semula, timbalan pendakwa raya Raja Rozela Raja Toran, meminta Wasi menjelaskan jawapannya yang mengelirukan semasa pemeriksaan balas.

Raja Rozela: Soalan saya, adakah dalam pengetahuan Datuk (Wasi), apabila berjumpa Datuk Seri Zahid, pemberian RM10 juta itu sebenarnya satu pelaburan?

Wasi: Kemungkinan besar. Sebab it’s too good to be true.

Wasi juga kali ini menyatakan bahawa dalam pertemuan pertama dengan Ahmad Zahid, dia “ada diberitahu” bahawa RM10 juta itu turut dipertimbangkan untuk diberi sebagai satu pelaburan.

Namun, ketika disoal adakah pembayaran RM10 juta berserta faedah yang dibuatnya itu adalah kerana satu “obligasi”, dia menjawab “tidak”.

Raja Rozela: Dicadangkan (oleh pasukan pembelaan), tujuan cek itu dikeluarkan adalah sebagai pelaburan dalam Armada Holdings oleh Yayasan Akalbudi. Datuk kata tak bersetuju. Boleh jelaskan?

Wasi: Kalau RM10 juta itu harus dipulangkan balik (maka ia bukan pelaburan, tetapi pinjaman).

Raja Rozela: Jadi ia tak dikira (sebagai pelaburan)?

Wasi: Ia boleh jadi pelaburan, dan boleh jadi bukan pelaburan.

Perbicaraan bersambung Februari tahun depan. 

Lihat Komen