malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
AGC bangkitkan bantahan tindakan undang-undang terhadap PM, kabinet
ADS

Jabatan Peguam Negara (AGC) akan mengemukakan bantahan terhadap permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman berhubung keputusan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad dan kabinet melanjutkan lesen kilang pemprosesan nadir bumi, Lynas.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menangguhkan pendengaran yang dijadualkan semalam berhubung permohonan itu kepada 15 Jan tahun depan untuk membolehkan pihak-pihak berkaitan memfailkan hujahan lanjut.

Perkara itu disahkan kepada Malaysiakini hari ini oleh peguam Dinesh Athinarayanan, yang mewakili ketiga-tiga pemohon: Pengerusi Save Malaysia Stop Lynas (SMSL) Tan Bun Teet, 71, dan dua penduduk Kuantan, Ismail Abu Bakar, 71 dan G Ponusamy, 68.

Dua hari lalu, Malaysiakini melaporkan bahawa ketiga-tiga mereka memfailkan kebenaran untuk semakan kehakiman bagi membatalkan keputusan kabinet pada 15 Ogos lalu yang melanjutkan lesen operasi Lynas selama enam bulan.

Pada mulanya semalam ditetapkan untuk pendengaran permohonan itu dibuat di hadapan Hakim Nordin Hassan. 

Dinesh berkata, Nordin membuat keputusan untuk menangguhkan pendengaran dalam kamar hari ini.

Dinesh mewakili ketiga-tiga pemohon manakala Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi dari Jabatan Peguam Negara mewakili kerajaan.

"Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir memaklumkan (semasa dalam kamar) bahawa Jabatan Peguam Negara telah membangkitkan bantahan atas perkara itu (permohonan kebenaran semakan kehakiman).

"Mahkamah kemudian memberikan arahan lanjut untuk pihak-pihak ini memfailkan hujah bertulis," kata Dinesh Athinarayanan.

Dinesh menjelaskan Jabatan Peguam Negara mempunyai peluang untuk mengemukakan bantahan mereka terhadap permohonan kebenaran pada tarikh pendengaran.

Mengenai intipati bantahan Jabatan Peguam Negara untuk permohonan berkenaan, Dinesh tidak mengulas lanjut namun mengatakan butirannya akan didedahkan dalam permohonan yang difailkan oleh Pejabat Peguam Negara.

Selasa lalu, Malaysiakini melaporkan tiga individu memohon kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman bagi mendapatkan beberapa perisytiharan, di antaranya keputusan kolektif Mahathir dan kabinet yang dibuat pada 15 Ogos untuk melanjutkan lesen enam bulan terhadap operasi Lynas adalah 'batal dan tidak sah', dan tiada kesan.

Dilaporkan pada 15 Ogos kerajaan melanjutkan lesen berkenaan tetapi mengenakan beberapa syarat, antaranya kilang itu perlu membendung pengeluaran sisa radioaktif dalam tempoh empat tahun daripada tarikh lanjutan yang diberikan.

Pada 3 Nov (lima hari sebelum permohonan kebenaran untuk semakan kehakiman difailkan), Tan dilaporkan menggesa kerajaan menolak permohonan Lynas untuk meningkatkan had pemprosesan lanthanide pekat bagi tahun ini.

Ini disebabkan oleh kebimbangan terhadap peningkatan drastik sisa radioaktif Water Leach Purification (WLP) dan lantanida pekat, disyaki mengandungi tahap torium dan uranium yang tinggi.

Permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman itu menamakan 31 pihak sebagai responden, iaitu:

Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad

Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin

Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Mohd Yassin

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rina Mohd Harun

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo

Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub

Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd Redzuan Md Yusof

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Xavier Jayakumar

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Saifuddin Nasution Ismail

Menteri Kerja Raya, Baru Bian

Menteri Luar, Saifuddin Abdullah

Menteri Perusahaan Utama, Teresa Kok

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Ignatius Darell Leiking

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Mohamaddin Ketapi

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy

Kerajaan Malaysia

Lembaga Peselenan Tenaga Atom (AELB)

Lynas Malaysia Sdn Bhd

Lihat Komen