malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Tak perlu tempatkan pegawai SPRM di pejabat MB K'tan - Mohd Amar
Diterbitkan:  Dec 12, 2019 8:09 AM
Dikemaskini: 9:53 AM
ADS

Kerajaan Kelantan menegaskan tiada keperluan bagi negeri itu menempatkan seorang pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Pejabat Menteri Besar.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohd Amar Abdullah berkata, kerajaan negeri sudah mempunyai Bahagian Integriti dan Tadbir Urus, Audit Dalaman dan Jabatan Audit Negara untuk memastikan pemantauan mengenai rasuah dilakukan.

Beliau berkata walaupun ada cadangan daripada SPRM tetapi bagi Kelantan sudah mencukupi dengan adanya agensi sekarang bagi memastikan pentadbiran kerajaan negeri berjalan sepertimana mengikut undang-undang.

"Setakat ini pentadbiran adalah baik dan boleh dikatakan sifar rasuah dalam kalangan kakitangan kerajaan negeri.

"Semua ini adalah hasil usaha kerajaan negeri dan SPRM yang sentiasa memberikan panduan," katanya kepada pemberita pada Sambutan Hari Integriti Peringkat Kelantan di Kota Darul Naim di Kota Bharu, hari ini.

SPRM sebelum ini dilaporkan bersedia menempatkan pegawai kanannya di pejabat Menteri Besar (MB) dan Ketua Menteri bagi memperkasa integriti serta membendung perkara berkaitan rasuah di peringkat kerajaan negeri.

Mengulas mengenai sambutan Hari Integriti, Mohd Amar berkata ia adalah sebagai usaha menghidupkan dan menyegarkan ingatan kakitangan tentang tanggungjawab semua supaya sentiasa berada di atas landasan yang betul.

"Program dan aktiviti yang dijalankan dilihat dapat mencetuskan kesedaran dalam kalangan pentadbir awam bahawa mereka bukan saja bekerja namun sebenarnya memenuhi tanggungjawab agama," katanya.

- Bernama

Lihat Komen