malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Sistem cukai petak mulai 1 Jan 2020 di KL - Khalid
Diterbitkan:  Dec 12, 2019 3:37 PM
Dikemaskini: 7:37 AM
ADS

Pelaksanaan sistem cukai petak mulai 1 Jan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur akan menyaksikan pemilik terutama golongan B40 menikmati kadar tetap RM15 setahun bagi hak milik pajakan dan RM20 setahun bagi pegangan hak milik kekal.

Ia melibatkan pemilik petak kediaman strata daripada skim kediaman kos rendah dan Program Perumahan Rakyat (PPR) tanpa mengira saiz keluasan petak.

Perkara itu diumum Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad di sini, hari ini.

Khalid berkata bagi kediaman jenis pangsapuri mampu milik atau apartmen yang mempunyai saiz keluasan petak keseluruhan di bawah 96 meter persegi (1,030 kaki persegi), yang rata-rata dimiliki golongan M40 pula dikenakan cukai petak pada kadar minimum RM20 setahun bagi pegangan hak milik pajakan dan RM25 setahun bagi pegangan hak milik kekal.

"Kerajaan telah mengambil pertimbangan yang sewajarnya dalam pelaksanaan cukai petak ini dengan mengambil kira kepentingan rakyat dan hasrat kerajaan melaksanakan peralihan cukai tanah kepada cukai petak tanpa meningkatkan kos sara hidup atau bebanan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau berkata berdasarkan rekod di Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan, terdapat lebih 70 peratus kediaman jenis pangsapuri mampu milik atau apartmen yang mempunyai saiz keluasan petak keseluruhan di bawah 1,030 kaki persegi atau 96 meter persegi.

Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menjadi negeri keempat melaksanakan inisiatif peralihan cukai tanah kepada cukai petak ke atas hak milik strata selepas ia dilaksanakan di Selangor, Pulau Pinang dan Melaka.

Selain itu, Khalid berkata pelaksanaan sistem cukai ini juga dilihat sebagai satu mekanisme pembetulan dan rasionalisasi kepada pengenaan cukai ke atas pembangunan strata yang lebih sistematik, telus dan adil kepada setiap pemilik petak strata.

Pewujudan akaun cukai petak secara individu kepada setiap pemilik petak juga akan membolehkan pemilik petak yang tiada tunggakan meneruskan urus niaga seperti pindah milik, pajakan dan gadaian tanpa sebarang halangan.

Dalam perkembangan lain, Khalid berkata setakat ini lebih 2,200 daripada lebih 5,000 pemilik tanah Kampung Baru telah mengisi dan menghantar borang maklum balas berkaitan pelan pembangunan kawasan berkenaan.

Katanya, daripada jumlah tersebut sebanyak 95.3 peratus telah bersetuju dan menunggu peluang untuk menjualnya kepada kerajaan untuk tujuan pembangunan.

Sebelum ini Khalid dilapor berkata tarikh 30 Nov merupakan hari terakhir pemilik tanah Kampung Baru mengisi dan menghantar borang maklum balas pelan pembangunan kawasan berkenaan.

- Bernama

Lihat Komen