malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Syarikat proses visa keluar cek RM1j sebagai dana politik TPM - Saksi
ADS

KES ZAHID | Penolong Pengurus Cawangan Maybank membuat pengecaman tiga cek yang dikeluarkan syarikat Profound Radiance Sdn Bhd antara Julai 2017 ke Feb 2018.

Nama syarikat pemprosesan visa Profound Radiance Sdn Bhd (PRSB) yang terpalit kes saman sivil bulan lalu, timbul dalam perbicaraan kes tuduhan rasuah, pengubahan wang haram dan kes pecah amanah dana Yayasan Akal Budi melibatkan bekas timbalan perdana menteri, Ahmad Zahid Hamidi hari ini.

Mahkamah diberitahu syarikat itu membayar tiga cek berjumlah RM2 juta kepada firma guaman Lewis & Co bertarikh antara Julai 2017 hingga Februari 2018), dua daripadanya untuk tujuan “kebajikan”, masing-masing bernilai RM300,000 dan RM700,000.

Manakala satu lagi cek, juga dibayar ke firma sama adalah untuk tujuan “dana politik kepada TPM (timbalan perdana menteri)”, bernilai RM1 juta.

Ahmad Zahid merupakan timbalan perdana menteri pada ketika itu.

Mahkamah diberitahu hal itu ketika pemeriksaan balas terhadap saksi ke-26, Harryade Mohamad Arbe oleh peguam bela Ahmad Zahid, Hisyam Teh Poh Teik.

Ini susulan Harryade, dalam pernyataan saksinya, membuat pengecaman terhadap ketiga-tiga cek Maybank dari PRSB yang bernilai dan bertarikh sama dengan cek yang dibangkitkan Hisyam.

Harryade merupakan Penolong Pengurus Cawangan Maybank.

Untuk rekod, Lewis & Co merupakan “pemegang amanah” kepada Yayasan Akalbudi, seperti yang dicadangkan pasukan pembelaan sepanjang perbicaraan berlangsung.

Semasa menjawab soalan tambahan oleh timbalan pendakwa raya Gan Peng Kun, Harryade menganggap Lewis & Co sebagai sebuah “pejabat peguam bela dan peguam cara”, namun mengaku tidak mempunyai pengetahuan tentang tujuan transaksi ketiga-tiga cek tersebut.

Dalam pemeriksaan balas pula, Harryade bersetuju dengan cadangan Hisyam bahawa dia “tidak boleh untuk menafikan” sekiranya cek-cek yang dikeluarkan itu adalah untuk kebajikan, memandangkan dia tidak mempunyai pengetahuan berkenaan hal itu.

Hisyam kemudiannya merujuk Harryade kepada tiga salinan keratan cek, yang mempunyai nombor sama dengan cek yang disebutnya dalam pernyataan saksinya, sebelum memintanya membacakan “tujuan” yang tertera pada cek, serta kepada siapa ia dibayar.

Dua daripada cek tersebut (RM300,000 dan RM700,000) dibayar untuk tujuan “kebajikan” (charity), manakala satu daripadaya (RM1 juta) dibayar untuk tujuan “dana politik kepada TPM” (political fund to TPM). Ketiga-tiganya dibayar kepada Lewis & Co.

Hisyam: Bermakna, tujuan cek ini, kedua-duanya adalah untuk kebajikan, jika mengikut salinan ini?

Harryade: Ya.

Hisyam: Dan saya katakan ini adalah kebajikan Islam (Islamic charity), bayar kepada Lewis & Co sebagai pemegang amanah kepada Yayasan Akalbudi. Tahu tak tahu?

Harryade: Tak tahu.

Sementara itu, bagi keratan cek ketiga (dana politik), Harryade bersetuju dengan Hisyam, meskipun cek itu menyatakan dana politik untuk TPM, tetapi ia dibayar kepada Lewis & Co.

Harryade turut bersetuju ketiga-tiga cek tersebut melibatkan transaksi terbuka, bermakna pembayaran kepada firma guaman itu akan direkodkan dan rekodnya boleh diperiksa oleh juruaudit.

Keterangan 3 pegawai bank

Pada 27 November, seorang pengarah PRSB memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa Ahmad Zahid menerima RM2 juta sebagai rasuah daripadanya untuk membolehkan syarikatnya dilantik mengendalikan perkhidmatan pusat sehenti (OSC) visa di Nepal dan Pakistan.

Pengarah tersebut, Azlan Shah Jaffril, turut memberitahu mahkamah bahawa beliau akan menjadi saksi pendakwaan dalam kes rasuah Ahmad Zahid yang sedang dibicarakan.

Terdahulu, mahkamah turut mendengar keterangan daripada tiga pegawai bank, masing-masing dari RHB Islamic Bank, Public Bank dan Maybank, berhubung pengeluaran cek empat syarikat kepada Lewis & Co.

Kesemua 26 transaksi berjumlah RM19,250,000 itu dilakukan antara Julai 2016 hingga April 2017.

Saksi ke-23, Rashidah Mohd Rahim - yang merupakan pegawai Public Bank - mengesahkan Syarikat Jogabonito Jewellery And Diamonds mengeluarkan sekeping cek berjumlah RM250,000 kepada Lewis & Co pada 27 Jun 2016.

Saksi ke-24 pula ialah pegawai RHB Islamic Bank, Faiz Azfar Mohamad Azahar. Dia mengesahkan Lewis & Co dibayar sebanyak RM13 juta oleh dua syarikat, iaitu Berani & Jujur Trading, dan Mastoro Kenny IT Consultant & Services.

Katanya, pada 8 Feb 2017, Lewis & Co dibayar sebanyak RM5 juta dalam 10 transaksi cek oleh Berani & Jujur Trading, dengan setiap satu cek bernilai RM500,000.

Mastoro Kenny IT Consultant & Services pula pada 8 Dis 2016 mengeluarkan wang menerusi tujuh transaksi cek kepada Lewis & Co berjumlah RM5 juta, melibatkan tiga keping cek RM1 juta dan empat cek RM500,000.

Pada 5 Januari 2017 pula, terdapat satu transaksi cek berjumlah RM500,000 kepada firma guaman tersebut, manakala lima lagi transaksi cek bernilai RM2.5 juta (RM500,000 setiap cek) dilakukan pada 6 Januari 2017.

Saksi ke-25, Hasnizailawaty Sudin - yang merupakan pegawai Maybank - mengesahkan Sarana Kencana Sdn Bhd membayar Lewis & Co menerusi dua cek bernilai RM1 juta dan RM 5 juta, kedua-duanya bertarikh 25 April 2017.

Dalam pemeriksaan balas, ketiga-tiga saksi bersetuju dengan cadangan Hisyam bahawa sekiranya dikatakan bayaran itu adalah untuk infak dan sedekah, mereka “tidak boleh menafikan kerana tidak tahu” tentangnya.

Mereka juga bersetuju bahawa mereka “tidak boleh menafikan kerana tidak tahu” sekiranya Lewis & Co adalah pemegang amanah untuk cek tersebut, serta pemegang amanah untuk Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan akan bersambung Feb tahun depan.

Lihat Komen