malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Fail tokoh berpengaruh antara kes lama dibuka SPRM - Latheefa
ADS

Kes lama yang akan dibuka semula oleh SPRM, termasuk fail-fail melibatkan tokoh berpengaruh, maklum Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Latheefa Koya.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan butiran lanjut kerana bimbang akan menjejaskan siasatan.

Latheefa berkata pendedahan maklumat sedemikian akan menyebabkan individu yang disiasat melarikan diri dan mungkin juga fail berkenaan "boleh hilang."

Menurut ketua pesuruhjaya SPRM lagi, terdapat banyak kes yang bakal disemak semula.

Tindakan ini katanya, selepas SPRM menerima maklumat baru dan aduan yang melibatkan kes-kes lama tersebut.

“Saya telah menerima satu demi satu memo di mana mereka memberitahu saya tidak ada kes, dan saya telah mendapat maklumat dan bukti tambahan.

“Jadi saya perlu teliti semula fail tersebut dan menyemak kembali sama ada (kes) sudah ditutup dengan betul atau tidak," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sebuah forum berkenaan rasuah dan ketelusan, anjuran Transparency International di Kuala Lumpur pagi ini.

Latheefa dijadualkan menyampaikan ucapan penutup pada majlis itu.

"Saya tidak boleh berikan nama, kerana jika saya beritahu, mereka (tokoh berpengaruh yang kesnya bakal dibuka) akan melarikan diri.

“Jadi, jika saya bocorkan perkara berkenaan fail ini, saya risau fail ini akan hilang,” kata Latheefa.

Ditanya jika beliau mengesyaki sebarang salah laku dalam keputusan terdahulu untuk menutup fail siasatan, Latheefa berkata beliau tidak dapat mengulas sehinggalah dapat meneliti fail berkenaan.

Beliau juga enggan memberikan komen apabila ditanya mengenai kemungkinan wujud daulah terpendam (deep state) dalam SPRM.

“Apa yang awak nak sebenarnya? Saya tidak pernah guna perkataan itu. Jangan tulis perkataan itu keluar dari mulut saya.

“Saya tak pernah guna perkataan daulah terpendam. Jadi biarlah (kenyataan saya) seperti ini sahaja. Saya sudah katakan apa yang perlu,” katanya.

Meskipun menolak memberi butiran khusus berkenaan kes lama tersebut, Latheefa menyebut lebih daripada sepuluh kes yang akan disiasat.

Beliau juga berkata sudah mendapatkan maklumat dan tuntutan untuk membuka semula kes di Sarawak dan kematian mendiang Teoh Beng Hock.

Semalam, Bernama melaporkan bahawa Latheefa Koya berkata bahawa SPRM akan membuka semula beberapa kes lama yang melibatkan kepentingan awam pada awal tahun depan.

Ditanya sama ada kes kepentingan awam berkenaan melibatkan pemerintahan kepimpinan kerajaan terdahulu, beliau berkata ia melibatkan pelbagai kes dan tidak semestinya melibatkan kes pentadbiran terdahulu.

Lihat Komen