malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Balai bomba atas air pertama di M'sia mula operasi
ADS

Balai Bomba dan Penyelamat atas air pertama Malaysia yang terletak di daerah Semporna di Sabah beroperasi, mulai hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Kamarulzaman Malik Abdullah berkata pewujudan balai atas air itu akan mempercepatkan respons anggota terhadap kejadian kebakaran serta kecemasan lain.

"Jika respons dari darat (Balai Bomba) ambil masa turunkan bot dan sebagainya bila ada balai atas air, respons akan lebih cepat.

"Di Sabah ini kawasan penempatan atas air berisiko tinggi untuk kejadian kebakaran terutama di kawasan pantai timur Sabah, utara Sabah dan sebahagian di pantai barat selatan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis apresiasi bomba bersama media peringkat zon Tawau di Semporna.

Dalam pada itu, Kamarulzaman berkata balai atas air yang dibina dengan peruntukan RM200,000 berkenaan, dilengkapkan dengan tiga bot iaitu bot bavi memadam kebakaran, bot untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR) serta bot EMRS.

"Turut ditempatkan seorang ketua balai serta tiga anggota penyelia selain 20 anggota dari pasukan bomba bantuan (PBB)," katanya lagi.

Menurutnya, 20 anggota PBB itu merupakan penduduk setempat dan mendapat latihan kebombaan selama lima bulan.

"Anggota PBB ini mempunyai pengetahuan tentang kawasan air dan mereka cuma respons di air," katanya lagi.

Terdahalu dalam ucapan, Kamarulzaman berkata balai atas air itu akan menjadi contoh, selain penentukuran kepada negeri lain.

Katanya juga, balai seumpama itu akan ditambah dan dibina di kawasan berisiko tinggi atas air.

"Kami akan usahakan (pembinaan) satu balai lagi, mungkin di bahagian utara pantai timur Sabah," katanya.

Mengenai majlis itu, beliau berharap bomba dan media dapat terus bekerjasama dalam melaporkan berita tepat untuk masyarakat.

- Bernama

Lihat Komen