malaysiakini logo
story-image
ADS

Seorang saksi mendakwa Khalid Mohamad Jiwa- atau lebih dikenali sebagai Datuk K- merupakan individu yang membawanya berjumpa Ahmad Zahid Hamidi bagi meminta bantuan berhubung modal berbayar syarikatnya berjumlah RM10,000,000.

Dalam perbicaraan kes tuduhan rasuah, pengubahan wang haram dan kes pecah amanah dana Yayasan Akal Budi melibatkan Ahmad Zahid, saksi ke-21, Wasi Khan @ Wasiyu Zama Israr Ahmad berkata pertemuan itu berlaku pada 2015.

Wasi merupakan pengarah Armada Holdings Sdn Bhd (Armada Holdings) yang menerima cek berjumlah RM10 juta dari Yayasan Akalbudi pada November 2015, seperti yang dinyatakan dalam kertas pertuduhan.

Menurutnya, pada tahun 2015, syarikatnya memerlukan modal berbayar RM10 juta untuk memenuhi syarat minimum berdaftar sebagai pembekal arang batu Indonesia bagi kontrak TNB Fuel Services Sdn Bhd (TNB Fuel).

Bagaimanapun, memandangkan syarikatnya tidak mempunyai modal sebanyak itu, dia telah menghubungi kawan-kawannya termasuklah Khalid bagi meminjam modal berjumlah RM10 juta itu.

Katanya, pada asalnya, dia meminta pertolongan Khalid (gambar) untuk mengatur pertemuan dengan Ahmad Zahid bagi mengurangkan jumlah modal dari RM10 juta ke RM5 juta sahaja. 

Katanya juga, dalam pengetahuannya, Khalid merupakan kenalan rapat Ahmad Zahid.

“Datuk Seri Khalid bin Mohamad Jiwa telah bersetuju untuk memberi bantuan kepada saya dan beliau telah mengajak saya berjumpa dengan Datuk Seri Ahmad Zahid bin Hamidi,” katanya menurut pernyataan bertulisnya.

Bagaimanapun, setelah bertemu Ahmad Zahid di Kementerian Dalam Negeri bersama-sama Khalid, timbalan perdana menteri itu tidak mahu campur tangan dalam urusan dan polisi TNB namun mencadangkan untuk “mengaturkan” dari segi kewangan dalam tempoh yang singkat.

Tiada surat perjanjian

Kata Wasi lagi, dalam pertemuan kali kedua di parlimen, Ahmad Zahid mengarahkan seorang pegawai Affin Bank untuk menyerahkan cek berjumlah RM 10 juta, dan turut memberikan tempoh sebulan untuknya membayar semula pinjaman tersebut.

Jelasnya, setelah meneliti butir maklumat dalam cek tersebut, dia baru mengetahui bahawa cek pinjaman itu adalah dari Yayasan Akalbudi kerana perkara itu tidak dimaklumkan kepadanya sebelum itu.

Oleh hal itu, setelah dimaklumkan oleh pegawai bank berkenaan bahawa duit itu adalah dari “yayasan anak yatim dan orang miskin”, Wasi berkata dia berniat membayar balik pinjaman itu berserta faedah sekitar 4 peratus, atas inisiatifnya sendiri.

“Saya mengesahkan bahawa tidak ada apa-apa surat perjanjian pinjaman yang dikeluarkan di antara pihak saya dan pihak Datuk Seri Ahmad Zahid bin Hamidi atas dasar kepercayaan Datuk Seri Ahmad Zahid bin Hamidi kepada Datuk Seri Khalid bin Mohamad Jiwa,” katanya lagi.

Wasi mengesahkan terdapat kemasukan RM10 juta pada 7 Disember 2015 ke dalam akaun syarikatnya daripada cek tersebut, manakala sebulan kemudian, pihaknya membayar balik pinjaman itu berserta faedah sebanyak RM69,722.65 kepada Yayasan Akalbudi dalam dua cek berasingan.

“Saya sahkan kedua-dua cek ini telah ditandatangani oleh saya sendiri. Saya juga mengesahkan tidak ada apa-apa surat hitam putih di antara syarikat saya dan Yayasan Akalbudi yang ditandatangani berkaitan bayaran balik pinjaman ini,” katanya.

Biarpun dalam pernyataan bertulisnya menyatakan terdapat seorang lagi pengarah Armada Holdings bernama Mohamed Za’aba Abbas, ketika disoal timbalan pendakwa raya Nur Aishah Maulat Ahmad Zakiuddin dalam pemeriksaan tambahan, Wasi mengakui Armada Holdings mempunyai pengarah ketiga bernama Muhammad Aazief Khalid. 

Ketika disoal peguam bela Ahmad Zahid, Rosal Azimin Ahmad dalam pemeriksaan balas pula, Wasi mengakui perjumpaan pertama kali dengan Ahmad Zahid berlaku sekitar Oktober 2015, sedangkan Armada Holdings hanya ditubuhkan pada Disember 2015.

Wasi turut bersetuju apabila Rosal Azimin berkata jumlah RM10 juta adalah amaun besar yang sukar didapatkan, dan dia tidak akan berkemampuan untuk meraih RM10 juta jika tanpa bantuan Ahmad Zahid.

Perbicaraan dilakukan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Pemeriksaan balas terhadap Wasi bersambung tengah hari esok. 

Lihat Komen