malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Najib: Saya juga nak tahu kebenaran tentang dana RM4b SRC 'yang hilang'
ADS

KES SRC NAJIB | Bekas perdana menteri Najib Razak tidak setuju dengan kenyataan pendakwaan bahawa dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM4 bilion, yang dipinjam daripada Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP), telah hilang.

Najib berkata lagi, dakwaan itu masih belum dipastikan dan dia juga mahu tahu apa yang sebenarnya berlaku.

Beliau berkata demikian ketika pemeriksaan balas dengan Peguam Negara Thommy Thomas, yang merupakan pendakwa raya dalam perbicaraan SRC International terhadap Najib.

Thomas: RM4 bilion melalui dua pinjaman yang diberi KWAP kepada SRC telah hilang sepenuhnya.

Najib: Saya tak setuju kerana kita belum pastikan (established) yang dana itu di Switzerland.

Thomas: Jadi anda masih dakwa ada dana di Switzerland?

Najib: Kita perlu pastikan.

Thomas: Saya belum lagi.

Najib: Anda perlu lakukannya.

Thomas: Saya katakan kepada anda yang aset itu telah hilang.

Najib: Saya tak setuju.

Thomas: Saya katakan kepada anda yang seluruh RM4 bilion sudah disia-siakan.

Najib: Saya tak setuju. Saya mahu tahu kebenarannya.

Najib yang juga anggota parlimen Pekan juga menafikan dia cuba menutup kehilangan wang itu dengan menghalang timbalan menteri kewangan II ketika itu, Ahmad Husni Hanadzlah daripada pergi ke Switzerland pada 2015 untuk memastikan status wang tersebut.

Thomas: Anda tidak mahu Husni ke Switzerland kerana risau dia akan sedar wang sudah dicuri?

Najib: Tak benar.

Thomas: Saya katakan yang anda tak mahu penutupan itu dirosakkan oleh seorang menteri dalam kabinet anda jika dia ke Switzerland?

Najib: Tidak.

Najib menegaskan tiada keperluan untuk Husni ke Switzerland kerana delegasi 1MDB sudah pun ke sana dan berpuas hati dengan dapatan mereka.

Najib dibicara untuk tujuh pertuduhan pengubahan wang haram, pecah amanah jenayah dan salah guna kuasa melibatkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan berjalan di depan hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Ketika perbicaraan Ogos lalu, Husni mendakwa Najib cuba menghalangnya daripada mendapatkan semula dana SRC International di Switzerland.


Baca: Husni: Najib halang saya dapatkan dana SRC di Switzerland 


Husni dilantik menjadi menteri kewangan II pada 2009 dan meletakkan jawatan pada Jun 2016.

Najib dilaporkan mahu memindahkan Husni ke kementerian lain dalam satu rombakan kabinet, tetapi Husni menolak tawaran itu.

Pada Oktober 2016, Pejabat Peguam Negara Switzerland (OAG) mengesahkan pihaknya sedang menyiasat transaksi melibatkan SRC International.

"Selepas menganalisis bukti yang diperolehi, OAG mengenal pasti transaksi meragukan melibatkan sektor kewangan Switzerland. Pertamanya, jumlah AS$800 juta (RM3.3 bilion) nampaknya telah diselewengkan daripada pelaburan dalam sumber asli yang dibuat oleh dana SRC.

"Keduanya, disyaki satu skim penipuan 'Ponzi' dibuat untuk menyembunyikan penyelewengan kedua-dua dana SRC dan 1MDB," lapor OAG.

Lihat Komen