malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Syarikat terima dana Yayasan Akalbudi hanya daftar pengundi'
ADS

KES ZAHID | Bekas timbalan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Wan Ahmad Wan Omar berkata tugas TS Consultancy & Resources (TS) hanyalah untuk mendaftar pengundi dalam pilihan raya.

Ia selepas dua peguam bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi ketika perbicaraan semalam mengajukan kepada dua orang saksi pendakwaan, bahawa sumbangan Yayasan Akalbudi kepada TS digunakan untuk percetakan al-Quran.

Wan Ahmad yang menjadi saksi pendakwaan ke-18 berkata demikian ketika disoal timbalan pendakwa raya (DPP) Mohd Afif Ali dalam pemeriksaan tambahan perbicaraan kes tuduhan rasuah, pengubahan wang haram dan kes pecah amanah dana Yayasan Akal Budi terhadap Ahmad Zahid Hamidi, hari ini.

Keterangannya itu selepas peguam bela Ahmad Zaidi Zainal ketika perbicaraan semalam turut menyebut bahawa kegiatan TS merangkumi memberikan sumbangan dan menjalankan percetakan al-Quran.

Wan Ahmad ialah penyelia TS dan merupakan individu yang bertanggungjawab mengarahkan saksi ke-17, Sabri Said untuk menubuhkan syarikat tersebut pada 2015.

Hari ini Afif memintanya menjelaskan fungsi dan tugas TS seperti yang pernah dijelaskannya kepada Ahmad Zahid dalam satu taklimat pada Ogos 2015.

Menjawab soalan itu, Wan Ahmad berkata TS menjalankan tugas mendaftar dan mengatur strategi untuk mendaftar warganegara layak yang belum mendaftar sebagai pengundi.

Afif: Selain kerja-kerja yang telah dijelaskan, adakah TS ini turut menjalankan perkara lain selain Datuk Seri (Wan Ahmad) jelaskan tadi?

Wan Ahmad: Oh tidak.

Ketika pemeriksaan balas dengan peguam Ahmad Zaidi Zainal semalam, Sabri yang merupakan pemilik bersama TS berkata syarikat itu turut menyalurkan sumbangan dan kegiatan itu lebih banyak melibatkan Ahmad Zahid dan Wan Ahmad.

Sabri berkata dia hanya mengetahui apa yang dibincangkan mereka berdua "sekiranya diberitahu".

Dia juga bersetuju apabila Ahmad Zaidi berkata jika tidak diberitahu, dia tidak akan tahu perbincangan antara Ahmad Zahid dan Wan Ahmad berkenaan percetakan al-Quran oleh TS.

Semalam juga saksi pendakwaan ke-16, Jasni Majid - seorang lagi pemilik bersama TS - turut ditanya berkenaan perkara itu oleh peguam Hamidi Mohd Noh.

Hamidi mencadangkan bahawa semua RM360,000 sumbangan Yayasan Akalbudi kepada TS digunakan untuk mencetak al-Quran.

Jasni hanya menjawab "tidak tahu".

Tak tahu bayar kos cetak al-Quran

Dalam pernyataan saksi, Wan Ahmad berkata TS menerima dua cek daripada Yayasan Akalbudi, masing-masing bernilai RM100,000 (2015) dan RM260,000 (2016).

Malah dalam pemeriksaan balas hari ini, soalan tentang percetakan al-Quran sekali lagi dibangkitkan oleh peguam bela Ahmad Zaidi, kali ini kepada Wan Ahmad pula.

Ketika Ahmad Zaidi bertanya sama ada Wan Ahmad tahu atau tidak bahawa cek sebanyak RM360,000 yang diberikan kepada TS itu sebahagiannya adalah untuk membayar kos cetakan al-Quran, beliau hanya menjawab “tidak”.

Sementara itu, seorang lagi peguam bela, Hamidi Mohd Noh turut merujuk Wan Ahmad dengan tangkap layar senarai pusat pendaftaran pemilih di laman web SPR.

Hamidi: Setuju dengan saya, nama TS tiada dalam ini. Betul?

Wan Ahmad: Betul.

Berdasarkan laman web SPR, pusat pendaftaran pemilih merangkumi ibu pejabat SPR di Putrajaya, pejabat-pejabat pilihan raya negeri di seluruh negara, pejabat Pos berkomputer di seluruh negara, pejabat daerah atau pejabat majlis daerah, serta tempat-tempat awam seperti pasar malam, pasar raya atau taman-taman perumahan yang dikunjungi oleh Outreach Team SPR.

Bagaimanapun, ketika pemeriksaan semula oleh Afif, Wan Ahmad menjelaskan, meskipun TS tidak termasuk dalam senarai itu, pegawai TS merupakan penolong pendaftar sah yang boleh mendaftar pemilih. 

Menurut Wan Ahmad dalam pernyataan saksinya, dia diarahkan untuk menubuhkan syarikat itu pada awal 2015 oleh Muhyiddin Yassin, yang ketika itu merupakan timbalan perdana menteri.

Selepas Ahmad Zahid menggantikan Muhyiddin untuk jawatan itu pada tahun sama, katanya, dia mengadakan taklimat rasmi kepada Ahmad Zahid pada 20 Ogos 2015 bagi menerangkan bidang tugas TS serta kekangan kewangan yang dihadapi syarikat itu.

Ahmad Zahid, 66, menghadapi 47 pertuduhan, dengan 12 daripadanya bagi pecah amanah (CBT), lapan bagi rasuah dan 27 bagi pengubahan wang haram, melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Lihat Komen