malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Presiden Majlis Senator nafi sokong MTUC bantah RUU
ADS

Majlis Senator Malaysia membidas Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) kerana didakwa menyatakan secara salah hasil mesyuarat mereka berkenaan Rang Undang-undang Pembaharuan Undang-undang Buruh (LLR) yang bakal dibahaskan minggu hadapan.

Semalam, MTUC telah mengeluarkan kenyataan yang menjelaskan usaha mereka bagi melobi rang undang-undang (RUU), yang turut memetik Presiden Majlis Senator Malaysia Khairudin Abdul Samad.

Kata MTUC, Khairuddin berjanji bahawa beliau akan menggesa anggota Dewan Negara untuk membawa bantahan dari MTUC apabila Rang Undang-Undang berkenaan dibentangkan di Dewan Rakyat yang dijangka akan berlaku minggu depan.

Bagaimanapun, Khairuddin hari ini berkata bahawa dia tidak pernah dirujuk berkenaan kenyataan yang dibuat MTUC dan juga menyatakan ianya melanggar pendirian Majlis Senator Malaysia

"[...] saya agak terperanjat baca laporan yang menyatakan saya telah membuat kenyataan-kenyataan tanpa dihubungi oleh mana-mana media.

"Tidak ada yang menghubungi saya tapi saya lihat dalam laporan itu saya kata ini saya kata itu.

"Saya hendak menafikan perkara ini sekeras-kerasnya. Rakan-rakan saya ini semua ada dalam perjumpaan itu dan kita tak ada sebut pun kita bersetuju (dengan MTUC).

"Kita cuma beritahu kami akan membantu bahas perkara yang dibawa (oleh MTUC)...," jelas Khairudin pada sidang media bersama di parlimen bersama anggota Majlis Senator Malaysia yang lain.

Timbalan presiden Majlis Senator Malaysia, Razali Ismail berkata MTUC telah mewujudkan persepsi bahawa mereka telah mendapat sokongan terhadap penolakkan RUU itu.

"Ini nampak seperti MTUC mempergunakan Majlis Senator Malaysia untuk menentang kerajaan, ini tidak betul," katanya.

Razali juga berkata pihaknya terbuka untuk mengadakan pertemuan kepada mana-mana NGO dan isu pengundian menyokong atau membantah RUU itu tidak seharusnya timbul.

Isnin lalu, delegasi MTUC yang dipimpin oleh presidennya Abdul Halim Mansor dan setiausaha J Solomon telah bertemu dengan Khairudin dan anggota Majlis Senator Malaysia lainnya untuk membincangkan bantahan mereka terhadap RUU tersebut.

Pada mesyuarat tersebut, mereka mengemukakan laporan terperinci mengenai beberapa cadangan pindaan dan meminta RUU itu dihantar semula kepada Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan (NLAC) untuk diteliti sebelum dibentangkan semula pada sidang parlimen akan datang.

MTUC kemudian memetik Khairuddin yang mengatakan bahawa Majlis Senator Malaysia telah bersetuju bahawa ada sesetengah perkara di dalam RUU itu bakal merugikan keharmonian perindustrian yang didapati pekerja kini.

'Perjumpaan dengan MTUC Sarawak, Sabah'

Sementara itu, Khairudin berkata bahawa Majlis Senator Malaysia juga telah menerima permintaan untuk bertemu dengan MTUC Sabah dan Sarawak pada 16 Disember di parlimen

Pertemuan itu susulan percanggahan pendirian di dalam MTUC dengan dua bahagian kesatuan sekerja itu menyokong cadangan pindaan terhadap Akta Perhubungan Perusahaan (IRA) 1967.

[Baca berita asal]

Lihat Komen