malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Menantu tak tahu Zahid pengarah Yayasan Akalbudi
ADS

KES ZAHID | Menantu Ahmad Zahid Hamidi, Zul Hisham Zainal mengaku pernah membantu Persatuan Bola Sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapatkan sumbangan RM1.3 juta daripada ayah mertuanya.

Bagaimanapun, dia mengaku tidak mempunyai “apa-apa pengetahuan” tentang Yayasan Akalbudi, iaitu yayasan yang Ahmad Zahid merupakan pengasas, pemegang amanah, dan penandatangan tunggal.

“Saya baru sahaja mengetahui bahawa salah seorang pengarah yang berada di dalam Yayasan Akalbudi adalah bapa mertua saya iaitu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Sepanjang menjadi menantu kepada Datuk Seri Ahmad Zahid, saya tidak pernah mengetahui bahawa bapa mertua saya mempunyai Yayasan Akalbudi ataupun mana-mana yayasan,” katanya ketika membacakan pernyataan bertulisnya.

Dia berkata demikian sebagai saksi ke-19 perbicaraan kes tuduhan rasuah, pengubahan wang haram dan kes pecah amanah dana Yayasan Akalbudi yang masuk hari ke-11, di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Untuk rekod, Zul Hisham ialah suami kepada anak kedua Ahmad Zahid.

Bagaimanapun, ketika disoal dalam sesi pemeriksaan balas oleh Rosal Azimin Ahmad, Zul Hisham mengakui dia tahu banyak sumbangan diberikan Ahmad Zahid menerusi Yayasan Akalbudi kepada masyarakat di Bagan Datuk.

Rosal Azimin: Tapi dalam pernyataan bertulis kamu, dikatakan bahawa kamu baru mengetahui Datuk Seri Zahid adalah pengarah?

Zul Hishasm: Ya.

Rosal Azimin: Sebelum itu tahu apa-apa berkenaan Yayasan Akalbudi?

Zul Hisham: Khabar angin (rumors) saja.

Rosal Azimin: Tak tahu secara spesifik?

Zul Hisham: Tak.

Menurut Zul Hisham dalam pernyataan bertulisnya, dia mula terlibat secara tidak langsung dengan Persatuan Bola Sepak PDRM sekitar tahun 2014 dan “hanya bertindak di belakang tabir atas dasar minat,” sebelum dilantik secara rasmi sebagai pengurus pasukan itu untuk musim 2017.

Katanya, pada tahun 2015, Penolong Setiausaha Persatuan Bola Sepak PDRM, ASP Mohd Nizam Mohd Noor memohon bantuan penajaan kewangan bagi membayar gaji pemain yang tertunggak serta urusan pentadbiran persatuan.

Sampul surat mengandungi cek

“Kemudian, saya telah memaklumkan kepada Datuk Seri Ahmad Zahid berkaitan permohonan Persatuan Bola Sepak PDRM ini.

“Seterusnya saya telah menerima satu sampul surat yang mengandungi cek daripada pekerja Yayasan Akalbudi (saya tidak ingat siapa) dan saya telah menghubungi Encik Nizam untuk menyerahkan cek tersebut (lokasi sebenar saya tidak ingat),” katanya lagi.

Zul Hisham turut diminta timbalan pendakwa raya Nur Aishah Maulat Ahmad Zakiuddin untuk mengesahkan sekeping cek Affin Bank Berhad bertarikh 19 November 2015 berjumlah RM 1,300,000.00 sebagai cek yang diserahkannya Nizam.

Sementara itu, Nizam yang turut hadir memberi keterangan sebagai saksi ke-20, mengesahkan kemasukan wang berjumlah RM 1,300,000 ke dalam akaun persatuan daripada cek Yayasa Akalbudi.

Kata Nizam, semasa Persatuan Bola Sepak PDRM berada di bawah naungan Kementerian Dalam Negeri sejak 2014 yang diketuai Ahmad Zahid ketika itu, urusan penajaan diuruskan oleh Zul Hisham yang menjadi “pemudah cara/ orang tengah” antara persatuan dengan Ahmad Zahid.

Tambahnya, pihak pengurusan persatuan akan menyediakan permohonan peruntukan perbelanjaan untuk menguruskan persatuan itu sebelum dipersetujui sendiri oleh Ahmad Zahid.

“Kebiasaannya pihak Persatuan Bola Sepak PDRM akan menerima dana/tajaan sumbangan berbentuk cek. Datuk Zul Hisham bin Datuk Zainal akan memaklumkan kepada pihak Persatuan Bola Sepak PDRM bahawa cek telah sedia atas nama Persatuan Bola Sepak PDRM.

“Namun jika ada syarikat-syarikat lain yang ingin menyumbang maka, cek akan dikeluarkan atas nama Majlis Sukan Negara untuk mendapatkan pengecualian cukai sebelum cek diserahkan kepada pihak Persatuan Bola Sepak PDRM,” katanya lagi. 

Sementara itu, dalam pemeriksaan balas, peguam bela Rosal Azimin Ahmad merujuk saksi kepada penyata akaun Yayasan Akalbudi yang menunjukkan ada sejumlah RM1 juta yang dimasukkan ke dalam akaun yayasan pada Julai 2016.

Rosal Azimin mencadangkan bahawa duit RM1 juta itu adalah bayaran balik oleh MSN terhadap RM1.3 juta yang diberikan oleh Yayasan Akalbudi.

Zul Hisham menjawab “betul”, manakala Nizam pula menjawab “tidak pasti” terhadap soalan tersebut.

Rosal Azimin turut mencadangkan bahawa baki RM300,000 yang belum dilunaskan MSN merupakan “sumbangan” Yayasan Akalbudi.

Untuk soalan ini juga, Zul Hisham menjawab “betul”, manakala Nizam menjawab “tidak pasti”.

Perbicaraan bersambung esok. 

Lihat Komen