malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pemimpin AMK: Anwar perlu perjelas pendirian dakwaan video seks kaitkan Azmin
Diterbitkan:  Dec 11, 2019 2:34 PM
Dikemaskini: 9:04 AM
ADS

Naib Ketua AMK Mohd Nazree Mohd Yunus menggesa supaya Presiden PKR Anwar Ibrahim menjelaskan pendiriannya mengenai dakwaan video seks yang mengaitkan Azmin sebelum ini.

Nazree berkata demikian selepas Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin mendakwa Anwar cuba meyakinkannya bahawa lelaki di dalam video itu adalah Azmin.

"Perkongsian pandangan Zuraida berkenaan soal pendirian presiden berkenaan soal video juga wajar dijelaskan oleh presiden.

"Apakah benar presiden mempercayainya dan ini memerlukan penjelasan daripada presiden," katanya dalam suatu kenyataan hari ini.

Ketua Wanita PH itu merujuk kepada video seks menampilkan bekas ketua AMK Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz bersama seorang lelaki yang tersebar April lalu.

Haziq mendakwa lelaki yang bersamanya adalah Azmin. Bagaimanapun, menteri hal ehwal ekonomi dan sekutunya menafikan dakwaan tersebut serta menyifatkannya "sebagai komplot jahat" untuk memusnahkan kerjaya politiknya.

Pada majlis makan malam Ahad lalu, Azmin menyuarakan kekecewaannya berkata beliau mempertahankan Anwar daripada pertuduhan seks tetapi tidak mendapat sokongan sama apabila menteri itu didakwa melakukan hal serupa.

Pada majlis sama, Zuraida melancarkan serangan terhadap kem Anwar menggelar penyokongnya sebagai "budak hingusan" dan "budak pampers" serta melabel Setiausaha Agung PKR "tidak guna."

Zuraida juga berkata rela dirinya dipecat daripada PKR.

Susulan itu, beberapa pimpinan PKR termasuk Ketua Penerangannya, Shamsul Iskandar Mohd Akin menggesa tindakan disiplin 'tegas dan keras' dikenakan terhadap Zuraida.

Bagaimanapun, Nazree pada hari ini mempertahankan Zuraida, berkata kritikan naib presiden PKR itu berasas.

"Maka, pandangan Zuraida yang memberikan pencerahan maklumat kepada anggota parti berkenaan isu-isu semasa dan pertembungan dalam parti adalah sesuatu yang sememangnya ditunggu-tunggu oleh anggota parti bagi mereka memahami mengapa ada corak-corak tertentu bentuk aturan perjalanan dan pentadbiran parti termasuk perjalanan Kongres Nasional PKR 2019 yang lalu.

"Anggota PKR di bawah tertanya-tanya apakah sebab musabab PKR berantakan termasuk isu antara presiden dan timbalan presiden, dan ini sudah pasti ada asas-asasnya," katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan Wanita PKR Syarul Ema Rena Abu Samah juga turut mempertahankan Zuraida.

Katanya, Shamsul tidak patut membuat gesaan tindakan disiplin terhadap Zuraida.

Menurut Syarul Ema, isu itu sepatutnya diselesaikan antara presiden, timbalan presiden dan naib presiden PKR tanpa campur tangan pihak lain.

Dalam respons segera, Naib Ketua AMK Syed Badli Shah Syed Osman berkata Anwar tidak sepatutnya melayan gesaan Nazree.

Sebaliknya, kata Syed Badli, Nazree perlu meminta Azmin sendiri untuk membersihkan namanya.

"Anwar tak perlu beri sebarang penjelasan kepada rakyat berkaitan kes video lucah yang tular itu. Sebaliknya yang perlu tampil beri penjelasan, membela diri dan menepis fitnah tersebut adalah pemimpin yang terkait itu sendiri," katanya dalam kenyataan.

 

Lihat Komen