malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Sultan Selangor: Perpaduan boleh musnah dalam sekelip mata
Diterbitkan:  Dec 11, 2019 1:04 PM
Dikemaskini: 5:04 AM
ADS

Sempena ulang tahun ke-73 hari keputeraannya, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan betapa negara berteraskan perpaduan mengambil masa begitu lama untuk dibentuk, tetapi boleh musnah dengan sekelip mata ekoran permusuhan sesama rakyat.

Justeru Sultan Sharafuddin bertitah agar semua rakyat pelbagai kaum di negara ini sentiasa mengamalkan sikap saling menghormati dan memelihara sensitiviti.

"Janganlah perpaduan yang telah kita bina bersama sejak sekian lama ini kita runtuhkan hanya kerana kita mempunyai perasaan syak wasangka antara satu sama lain dan hilang rasa hormat sesama kita yang berlainan agama dan bangsa ini.

"Untuk membina negara yang berteraskan perpaduan yang utuh, ianya memakan masa yang begitu lama untuk dibentuk. Namun jika kita tidak berhati-hati dan mengamalkan sikap bermusuhan antara satu sama lain, negara akan musnah dan hancur di dalam sekelip mata sahaja," titahnya.

Untuk memelihara sensitiviti, Sultan Sharafuddin menggesa agar semua kaum tidak mencampuri urusan kaum lain terutama yang melibatkan soal agama, serta berhati-hati dalam memberi pandangan tanpa mempersoalkan apa yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Keharmonian akan sentiasa terpelihara sekiranya rakyat yang menganut pelbagai agama ini tidak mencampuri urusan agama penganut agama yang lain," titahnya.

Selain itu, Sultan Sharafuddin turut berharap agar rakyat Malaysia tidak melupakan sejarah negara yang turut melibatkan peristiwa buruk berkaitan ketegangan kaum yang harus dijadikan pengajaran.

"Beta percaya rakyat masih ingat sejarah hitam negara tatkala rusuham kaum yang berlaku pada peringkat awal kemerdekaan. Pada ketika itu kehidupan rakyat dalam keadaan amat perit dan huru-hara, ekonomi negara juga terjejas teruk.

"Rakyat tentu tidak mahu peristiwa hitam ini tercetus semula. Oleh itu jadikanlah detik hitam ini sebagai panduan agar kita tidak mengulangi kesilapan dahulu dan memperbaiki hubungan antara kaum ke arah yang lebih baik dan harmoni," titahnya lagi.

Lihat Komen