malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Ulang tahun Perjanjian Damai Hat Yai: 9 persatuan terlibat - Bukit Aman
ADS

Sembilan persatuan dikenal pasti terlibat kes menganjurkan majlis peringatan ulang tahun ke-30 Perjanjian Damai Hatyai, Thailand, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Huzir Mohamed.

Beliau berkata susulan itu, pihaknya mengenal pasti empat individu yang memberi ucapan pada majlis berkenaan iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Pelek Ronnie Liu, editor Persatuan Persahabatan Abad ke-21, wakil Parti Komunis Malaya (PKM) dan wakil Persatuan Kawan Karib Sarawak.

“Setakat ini, sebanyak enam saksi telah diambil keterangan manakala saksi-saksi lain akan diambil keterangan berdasarkan temujanji yang ditetapkan.

“Sehingga kini, polis telah menerima sebanyak 72 laporan polis berkait isu sama. Selain itu, siasatan masih dibuat dan beberapa tindakan akan diambil termasuklah mendapatkan keterangan daripada pakar sejarah,” katanya dalam kenyataan pada awal pagi ini.

Huzir berkata laporan daripada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) juga akan diperoleh bagi membantu siasatan.

Kertas siasatan akan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara berserta cadangan berdasarkan dapatan hasil siasatan.

“Siasatan diklasifikasikan di bawah Seksyen 505 (C) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," kata Huzir.

Pada 1 Dis lepas, sebuah portal berita melaporkan kira-kira 300 orang menghadiri perjumpaan dan perhimpunan yang dipercayai melibatkan bekas anggota PKM itu di Kajang.

Perjumpaan itu difahamkan sebagai memperingati ulang tahun ke-30 Perjanjian Damai Hatyai yang ditandatangani antara Kerajaan Malaysia dan PKM pada 2 Dis 1989.

Mengenai kes abu mayat bekas pemimpin PKM Chin Peng yang dibawa masuk ke negara ini, Huzir berkata sebanyak 10 saksi telah diambil keterangan berhubung kes itu.

“Mereka antaranya terdiri daripada pihak pengadu, editor Malaysiakini, wartawan, pembawa abu mayat dan juga individu yang terlibat dalam upacara yang dijalankan.

“Siasatan masih lagi dibuat dan beberapa tindakan akan diambil termasuk mendapatkan keterangan pakar sejarah,” katanya.

Huzir berkata laporan daripada pihak SKMM, Jabatan Imigresen, RoS, Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia akan turut diambil bagi membantu siasatan kes itu.

Sehingga kini, 11 laporan polis dibuat berkenaan isu itu dan kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara berserta beberapa cadangan berdasarkan dapatan hasil siasatan.

“Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 504 dan 505(C) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.

Pada 26 Nov lepas, media melaporkan abu mayat Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua dibawa masuk pulang ke Malaysia dan ditabur ke laut berhampiran Lumut, Perak dan di hutan banjaran Titiwangsa tanpa sebarang tugu atau jirat.

Abu mayat bekas pemimpin PKM itu dilaporkan tiba di Ipoh, Perak pada 16 Sept lepas dan satu majlis peringatan dihadiri 150 individu diadakan pada hari yang sama.

Chin Peng meninggal dunia di sebuah hospital di Bangkok pada 16 September 2013 ketika berusia 89 tahun.

- Bernama

Lihat Komen