malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Dr M janji serah jawatan pada Anwar selepas sidang Apec
Diterbitkan:  Dec 11, 2019 12:03 AM
Dikemaskini: 4:41 PM
ADS

Dr Mahathir Mohamad berjanji akan menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar Ibrahim meskipun berlaku dakwaan salah laku seks terbaru membabitkan bakal penggantinya itu.

Perdana menteri berkata beliau tidak akan menyerahkan jawatan itu sebelum sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang akan dianjur Malaysia November tahun depan.

"Saya berjanji untuk menyerahkannya dan saya akan berbuat demikian, saya fikir perubahan segera sebelum sidang Apec akan mengganggu (keadaan)," kata Mahathir seperti dilaporkan Reuters.

"Setakat yang saya tahu, saya akan letak jawatan dan saya serahkan baton kepadanya.

"Jika orang tidak mahu dia, itu urusan mereka, tetapi saya akan lakukan sebahagian daripada janji, tanpa mengira sebarang tuduhan terhadapnya. Saya sudah berjanji, saya tunaikan janji saya."

Ditanya sama ada penyerahan kuasa itu akan dilakukan pada Disember 2020, Mahathir berkata: "Kita akan lihat bila tiba masanya."

Hubungan bergelora antara dua pemimpin berkenaan - daripada kawan kepada seteru politik sebelum bersatu semula untuk memenangi kuasa - telah melakar politik di Malaysia sejak beberapa dekad lalu.

Hubungan keruh antara mereka bermula dengan penyingkiran Anwar daripada jawatan timbalan perdana menteri atas tuduhan salah laku seks pada 1998.

Bagaimanapun selepas lebih dua dekad, Mahathir bergabung dengan pembangkang untuk menumbangkan kerajaan BN pimpinan Najib Razak dan berjaya memenangi pilihan raya umum pada 2018.

Selepas kemenangan Pakatan Harapan, Anwar diberikan pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong dan dibebaskan daripada penjara atas kesalahan liwat yang dihadapinya pada 2015.

Minggu lepas, Anwar menafikan tuduhan terbaru oleh seorang bekas pegawai penyelidiknya mengenai dakwaan salah laku seks membabitkan beliau.

Sementara itu Sidang Kemuncak Kuala Lumpur yang akan diadakan di ibu negara minggu depan juga bakal mencuri tumpuan dengan kehadiran ramai pemimpin negara Islam seperti Iran, Pakistan dan Turki.

Dr Mahathir berkata, sidang kemuncak itu akan membincangkan situasi di mana umat Islam ditekan termasuk tuduhan pencabulan etnik Uighur di wilayah Xinjiang, China.

Lihat Komen