malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Enam ditahan bantu siasatan rusuhan di Kongres AMK
ADS

Polis Melaka menahan enam individu bagi membantu siasatan berhubung insiden rusuhan pada Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan (AMK) 2019 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di Melakapada 6 Dis lepas.

Ketua Polis Melaka Datuk Mat Kasim Karim berkata individu terbabit ditahan secara berperingkat bermula 6 Dis hingga semalam dan kesemua mereka adalah lelaki berusia 19 hingga 30 tahun serta dipercayai ahli PKR.

Mat Kasim berkata mereka antara 14 individu yang dikehendaki membantu dan melengkapkan kertas siasatan kes itu di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan sebelum dihantar ke Pendakwa Raya bagi tindakan lanjut.

"Enam yang ditahan itu adalah 14 individu yang dikenal pasti setakat ini bagi membantu siasatan insiden merusuh melibatkan dua kumpulan daripada parti yang sama dan kesemua mereka telah diambil keterangan serta dilepaskan dengan jaminan.

"Pada mulanya kita telah menahan dua lelaki iaitu ahli parti itu dari Kuala Lumpur dan Klang dan seterusnya seorang lagi dari Banting. Tiga lagi ahli parti itu ditahan hasil risikan kita," katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Kenderaan Penguatkuasaan 'Mitsubishi Outlander 2.4' di Melaka, hari ini.

Mengulas lanjut, Mat Kasim berkata lapan lagi individu yang dikenal pasti dan gambar mereka telah diedarkan sebelum ini diminta segera tampil ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka bagi membantu siasatan.

Katanya keterangan lapan lelaki itu penting bagi membantu menyelesaikan kes berkenaan dan melengkapkan kertas siasatan.

Menurutnya, sebanyak 15 saksi termasuk ahli parti itu dipanggil bagi memberi kenyataan mereka berhubung insiden itu dan lima laporan polis telah diterima setakat ini.

Beliau berkata pihaknya akan memanggil semua pihak atau individu tidak mengira pangkat dalam parti terlibat yang dikenal pasti dapat membantu siasatan kes itu agar keadilan dapat diberikan kepada semua pihak dan siasatan dilaksanakan secara profesional.

"Kita menjalankan siasatan berdasarkan laporan yang diterima dan diharap pihak terlibat dapat bersabar agar siasatan dapat diselesaikan dan dilengkapkan. Saya ingin menegaskan kita tidak terlibat atau menerima apa-apa arahan bagi menjalankan siasatan ini," katanya.

Pada 6 Dis lepas, media melaporkan Kongres tahunan AMK dicemari dengan insiden kecil kekecohan yang pertama ekoran sekumpulan anggota AMK tidak dibenarkan masuk ke dewan persidangan kerana telah penuh manakala kali kedua semasa kongres berhenti rehat.

- Bernama

Lihat Komen