malaysiakini logo
story-image
ADS

ULASAN | Di takdirkan Konvensyen Tahunan Amanah dan Perhimpunan Agung Umno (PAU) pada tahun ini diadakan pada hujung minggu yang sama.

Bagaimanapun perbezaan pendekatan serta isu yang diutamakan kedua-dua parti politik tersebut nampak jauh berbeza.

Wakil Amanah Terengganu yang berucap di konvensyen itu menyentuh masalah negara yang makin serius, iaitu serbuk dadah yang menjadi isu pada belia kita.

Wakil Umno Terengganu pula bercakap tentang abu mayat Chin Peng yang ancaman sebenarnya tidak begitu jelas kepada banyak pihak.

Bekas Ketua Polis Negara dan Ketua Polis Negara yang sekarang tidak menganggap ianya isu besar seperti digembar-gemburkan pihak yang ketandusan isu politik semasa.

Lagipun kalau ada bukti untuk menunjukkan kesalahan memang berlaku, berikan ia kepada pihak berkuasa dan biarkan mereka mengambil tindakan sepatutnya. Jangan sebarkan berita hanya untuk menakutkan orang bagi mengaut keuntungan politik.

Ia menunjukkan betapa jauhnya perbezaan keutamaan di antara Umno dan Amanah. Di satu pihak Amanah membangkitkan isu serbuk dadah yang semakin buruk, manakala di sisi lain Umno memainkan isu abu mayat.

Paling aneh ialah, mengapa pada PAU tahun ini barulah Umno membangkitkan isu pengaruh komunis yang didakwa menjadi ancaman kepada negara, dan bukannya sebelum pilihan raya umum (PRU) ke-14?

Bahas serbuk dadah lebih utama

Malahan sebelum PRU ke-13, Umno begitu jinak dengan Parti Komunis China yang mereka disambut untuk membuat kunjungan rasmi ke atas kerajaan BN Malaysia.

Kalau pengaruh komunis memang sejak dulu sangat serius, kenapa Kerajaan BN-Umno menghantar rombongan kunjungan balas ke acara Parti Komunis China di negara tesebut, seperti diumumkan Setiausaha Agung Umno sebelum ini?

Setelah PH menjadi kerajaan, tiba-tiba komunis ditakuti sedemikian ruma dan isu abu mayat Chin Peng dijadikan isu besar oleh Umno.

Ini tidak lain hanyalah menunjukkan betapa hipokritnya Umno dan betapa mereka tertekan kerana ketandusan idea untuk berdepan dengan kerajaan.

Dalam konvensyen Amanah, kami berbahas tentang isu semasa yang relevan seperti gejala najis dadah dalam kalangan belia - khususnya di Pantai Timur dan Utara Semenanjung - di kawasan majoriti penduduk Melayu-Islam.

Mengikut statistik, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perlis adalah empat negeri paling tinggi mengalami masalah penagih dadah sejak berapa lama.

Dalam keadaan begitu adalah sangat wajar untuk wakil Umno Terengganu berbahas dengan memberikan lebih tumpuan kepada masalah serbuk dadah berbanding abu mayat Chin Peng.

Sebaliknya mereka membuat dakwaan sensasi tanpa bukti kononnya ejen komunis sudah meresapi Putrajaya.

Hanya persepsi negatif

Silalah kemukakan bukti untuk menyokong tuduhan yang serius itu jika betul betul wujud keadaan itu di pusat pentadbiran negara kita.

Dengan perjanjian kerjasama muafakat di antara Umno dan PAS pula, sepatutnya mereka menumpukan masalah rakyat di empat negeri majoriti Melayu itu yang kini ditadbir PAS atau Umno.

Negeri terbabit sejak sekian lama diurus sama ada oleh PAS atau Umno.

Ketua Pemuda Amanah Terengganu, Hasbie Muda, membawa isu dadah ke tengah konvensyen untuk dibincang dan diperhalusi, tetapi di Pusat Dagangan Dunia Putra, wakil Umno dari negeri sama lebih berminat bermain politik abu mayat Chin Peng yang sudah tidak mampu berbuat apa-apa.

Inilah politik Umno-BN dan juga rakan baru mereka, PAS.

Politik sensasi hanya mencetuskan persepsi negatif untuk mengajak rakyat menjadi marah dan takut kepada benda yang tidak sahih duduk letaknya. Memang begitulah budaya negatif dibawa Umno dan PAS.

Di parlimen baru-baru ini pula isu kontrak pembekalan baja untuk Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) - yang terdiri daripada petani dan peladang - juga disensasikan oleh Presiden MCA, Dr Wee Ka Siong, sebelum dicontohi membuta tuli oleh ahli-ahli parlimen PAS.

Tidak ada penyelewengan pun dalam isu tersebut kerana kerajaan berhak membuat keputusan sewajarnya bagi membela petani yang bernaung di bawah Nafas. PAS pula - demi meraih populariti - sanggup mengetepikan kebajikan petani yang kebanyakannya susah demi sensasi politik murahan bersama MCA.

Minggu berikutnya pula PAS dan BN-Umno tidak menyokong undian meluluskan peruntungan bagi membela kebajikan golongan wanita dan orang kelainan upaya (OKU) hanya semata-mata mahu cuba mengagalkan usaha PH yang ingin memberi kemudahan kepada golongan yang terbabit.

Dan yang terbaru, Umno lebih mementingkan isu abu mayat Chin Peng yang telah lama mati daripada menangani isu serbuk dadah yang lama melanda negeri negeri majoriti Melayu seperti Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perlis.

Di manakah keprihatinan Umno membela masalah sosial dan dadah anak Melayu di negeri-negeri yang mereka telah perintah begitu lama?

Begitulah ketandusan idea dan lemahnya visi Umno serta PAS dalam usaha mereka mengolah perhatian rakyat bagi merampas kuasa daripada PH.

Walaupun mungkin akan memakan sedikit masa, kerajaan PH tetap terus memberi tumpuan jangka panjang bagi menyelesaikan masalah rakyat, bukannya mengamalkan politik murahan dan sensasi tanpa tanggung jawab seperti dilakukan Umno dan PAS.

Politik murahan dan jalanan Umno - PAS hanya merugikan rakyat dan negara.


Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad ialah pengerusi Amanah Terengganu.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen