malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Saksi kata terima cek Yayasan Akal Budi bayar insurans, cukai jalan kereta Zahid
ADS

Ejen insurans kepada Allianz General Insurance, Ahmad Izhan Abdul Rashid berkata dia menerima tiga cek untuk pembayaran polisi insurans dan cukai jalan bagi 20 kenderaan milik Ahmad Zahid Hamidi bernilai RM 107,509.55, daripada pembantu bekas timbalan perdana menteri itu yang dikenali sebagai Mejar Mazlina.

Izhan yang merupakan saksi ke-14 pendakwaan berkata demikian dalam keterangannya bagi perbicaraan kes pecah amanah dana milik Yayasan Akal Budi yang masuk hari kesembilan, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Membaca pernyataan bertulis di depan hakim Collin Lawrence Sequerah, Izhan berkata dia dilantik untuk menguruskan perkara berkaitan insurans kenderaan Zahid selepas diperkenalkan seorang kawan pada Ogos 2014.

Dia berkata telah menerima cek Affin Bank milik Yayasan akal Budi sebanyak tiga kali daripada Mazlina, iaitu pada 22 Januari 2015 (RM 24980.55 ), 15 April 2015 (RM43,645) dan 22 September 2015 (RM38,884).

Katanya lagi, cek tersebut ditulis atas namanya kerana selepas dia mendepositkan cek, dia akan mengeluarkan sejumlah wang untuk membayar cukai jalan secara tunai kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Kemudian, katanya lagi, dia akan mengeluarkan sejumlah wang lagi untuk dimasukkan ke akaun semasa milik Maya Consultant Services - syarikat pengurusan penjualan produk insurans miliknya - untuk membayar premium insurans berkenaan.

Menurut Izhan, jumlah wang yang diterima daripada Zahid tidak sama dengan jumlah sebenar yang digunakannya untuk membuat bayaran kepada JPJ dan allianz General Insurance, selepas mengambil kira komisen untuknya.

Jumlah yang dibayar kepada Allianz berdasarkan resit rasmi sudah ditolak komisen, katanya.

“Cara pembayaran komisen ini dipersetujui oleh Allianz General Insurance. Saya menerima komisen sebanyak 10 peratus daripada jumlah premium insurans yang dibayar oleh pelanggan,” katanya lagi.

Ketika perbicaraan 5 Disember lalu, pengurus cawangan Allianz General Insurance Fang Suat Lim - saksi ke-13 pendakwaan - berkata nilai polisi insurans untuk kenderaan milik Zahid dan keluarga berjumlah RM72,209.57.

Kereta yang didaftarkan atas nama Zahid melibatkan model Lexus LX570 (RM8752.27), dua Toyota Vellfire (RM 7391.35 dan RM 6368.55) , Mercedez Benz CLS 350 (RM 5339.15), Audi Q7 4.2 (A) (RM 5058.6), Chrysler Jeep Wrangler (RM 4925.15), Honda Odyssey (RM 3333.55), Mini Cooper S (RM 2688.35) dan BMW 320i (A) (RM 2004.9).

Polisi untuk motosikal Zahid pula melibatkan Harley Davidson (RM 2575.85 dan RM 1704.6), Ducati Diavel Carbon (RM2575.85), BMW C600 Sport (RM2077.65), BMW R1200 GS (RM2036.3), BMW R1200 RT (RM1494.25), dan Honda C100 (RM151.75).

Untuk isterinya Hamidah Khamis, polisi insurans melibatkan kereta BMW X5 (RM 2443.25), manakala satu SUV Toyota Land Cruiser dibeli oleh Juhari Janan (RM 7391.35), serta motosikal Ducati Hypermotard (RM2285.8) dan Kawasaki KLX 250 V (RM691.9).

‘Mungkin cek ditandatangan terlebih dulu’

Ketika pemeriksaan balas peguam Zahid, Hamidi Md Noh merujuk tiga cek tersebut dan membangkitkan kemungkinan ia ditandatangani terlebih dulu.

Hamidi: Saya nak kamu rujuk kepada cek asal, dan lihat bahagian tandatangan dan tulisan, maksud saya bahagian butiran. Tengok dakwat pada tandatangan dan maklumat (butiran pada tarikh, jumlah dan nama) setuju atau tidak dakwat itu adalah berbeza?

Izhan: Berbeza.

Hamidi: Malah ada kemungkinan bahawa tandatangan itu telah dibuat dulu sebelum tulisan butiran ditulis?

Izhan: Kemungkinan dan setuju.

Hamidi: Adakah semua cek yang diterima, Mejar Mazlina yang bagi?

Izhan: Ya.

Hamidi: Setuju dengan saya bahawa setiap kali kamu sudah dapat cek, ia sudah siap dan disebabkan itu kamu tidak nampak siapa tandatangan cek itu?

Izhan: Ya.

Hamidi: Setuju dengan saya bahawa tiga cek Yayasan Akal budi telah diberikan secara salah oleh Mejar Mazlina

Izhan: Tidak tahu.

Selepas pemeriksaan balas, timbalan pendakwa raya Lee Keng Fatt bertanya Izhan sama ada dia maklum cek itu ditandatangani terlebih dulu.

Lee: Encik Izhan sudah tahu ada tandatangan dahulu?

Izhan: Ya tahu, Mejar Mazlina ada bagi tahu nak cepatkan urusan dan memudahkan dia (Mejar Mazlina), maka dia suruh Dato Seri (Ahmad Zahid) tandatangan dahulu, dan dia akan rekodkan jumlahnya nanti.

Lee: Boleh kamu terangkan maksud tandatangan awal bagi kemudahan?

Izhan: Maksud saya kemudahan bagi dia (Mejar Mazlina) sebab semua bayaran untuk insurans kena cepat sebab ada tarikh luput cepat, dan kemudian bila saya nak cepat dia kena kejar. Saya rasa itu cara dia (menguruskan hal itu). Dia pun keluarkan cek dengan tandatangan untuk insurans. Kalau soal lain saya tidak tahu.

Ahmad Izhan kemudian dilepaskan tanpa dibebaskan untuk tujuan pengecaman di masa akan datang selepas pihak pembelaan tidak berhasrat membuat pemeriksaan balas.

Ahmad Zahid berhadapan 47 pertuduhan, 12 daripadanya membabitkan pecah amanah (CBT), lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akal Budi yang dipengerusikannya.

Perbicaraan bersambung Selasa, 10 Disember.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen