BERITA

Plaster Pak Li ada racun, kata kementerian

9 Dis 2019, 4:25 pagi

Dikemaskini setahun lepas

A
+
A
-

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihati orang ramai agar mengelakkan dari membeli dan menggunakan produk tradisional 'Pak Li Medicated Plaster' setelah dikesan mengandungi racun berjadual Diphenhydramine.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata pendaftaran produk jenis plaster itu telah dibatalkan pada 5 Dis lepas berikutan pengesanan racun berjadual itu di dalam produk berkenaan yang tidak dibenarkan dalam formulasi produk tradisional.

Beliau berkata, Diphenhydramine adalah sejenis antihistamin yang dikawal di bawah Akta Racun 1952 dan hanya boleh diperoleh daripada doktor atau ahli farmasi.

"Diphenhydramine digunakan untuk melegakan reaksi alahan dan kesan sampingannya yang digunakan secara tropikal termasuk ruam, gatal-gatal serta peningkatan kepekaan terhadap cahaya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata penjual dan pengedar produk ini perlu menghentikan penjualan dan pengedarannya dengan serta merta kerana ia melanggar Akta Jualan Dadah 1952 dan Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

"Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

"Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya," katanya.

Beliau berkata, orang awam yang sedang menggunakan produk ini dinasihatkan agar segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat professional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan.

"Orang awam boleh menyemak status pendaftaran sesuatu produk melalui laman sesawang www.npra.gov.my atau memuat turun aplikasi 'NPRA Product Status' daripada Google Play Store," katanya.

-Bernama

Malaysiakini telah menyajikan laporan percuma dalam bahasa Melayu selama 17 tahun. Langkah ini diambil sebagai khidmat kami untuk masyarakat.

Kami berharap ia dapat membantu pembaca membuat keputusan terhadap sesuatu perkara secara bermaklumat, selain menggalakkan perbahasan serius berkaitan isu-isu melibatkan kepentingan awam.

Malaysiakini juga berharap rakyat Malaysia tidak ketinggalan dalam isu-su penting dalam negara.

Langgan Malaysiakini (versi Bahasa Inggeris) sebanyak RM20 sebulan atau RM200 setahun bagi mendukung media bebas di negara ini.