malaysiakini logo
story-image
ADS

KONGRES PKR | Dalam ucapan penggulungan Kongres Nasional PKR ke-20, Anwar Ibrahim berkata beliau akan mengenakan tindakan lebih tegas terhadap sebarang salah laku dalam parti itu.

Pada masa sama, beliau membayangkan bahawa ia tidak akan dilakukan secara sewenang-wenangnya, antaranya terhadap mereka yang berbeza pendapat atau keluar daripada kongres semalam.

“Katakanlah, kalau 10 (hingga) 12 peratus yang rasa tak nak hadir (kongres), maka kita dekati (dan) beritahu bahawa ini bukan disiplin dalam parti.

“Kalau mereka (kata) tak sesuai dengan citarasa dan dasar perjuangan, itu kita boleh terima tapi tentunya tidak seluruhnya akan segera ambil tindakan.

“Tapi saya beri jaminan bahawa cadangan (tindakan) daripada pihak saya tentulah akan lebih tegas dari sebelum ini," katanya di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh, Melaka hari ini.

Berkenaan pemimpin yang berbeza pendapat, Anwar tanpa merujuk sesiapa secara khusus berkata ada di kalangan mereka yang merupakan anggota parti yang lama dan setia dan sumbangan mereka tidak boleh dipadam begitu saja.

"Saya harap kita dapat sabar sebentar," katanya kepada perwakilan.

Semalam, ratusan anggota parti bertindak keluar kongres semalam ketika ucapan sejumlah perwakilan mengkritik Azmin.

Dalam satu sidang media tergempar kemudian, Azmin dan sejumlah pemimpin parti yang menyokongnya menyalahkan ucapan dasar Anwar - yang memetik kisah Si Kitol dan Raja Mandeliar - sebagai pembuka jalan kepada serangan oleh pembahas.

Keadaan tegang antara kedua-dua pihak beterusan apabila naib presiden Tian Chua di'boo' perwakilan apabila menyentuh soal peralihan kuasa dan menyebut nama Azmin dan naib presiden Zuraida Kamaruddin dalam ucapannya.

Anwar menjelaskan para pembahas telah dinasihatkan agar tidak membuat serangan tetapi parti tidak boleh memaksa mereka mengikut skrip ketika berbahas.

Dalam pada itu, Anwar turut menyentuh tuntutan permohonan maaf oleh kem Azmin dalam isu pemecatan anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Zakaria Abd Hamid atas dakwaan rasuah.

Beliau berkata masih boleh bersabar dengan pemimpin dan anggota parti yang keluar dewan semalam tetapi bukan kepada salah laku rasuah yang memang sekian lama ditentang PKR.

“...Kongres ini bagi mesej jelas bahawa pimpinan harus tegas, harus bertindak, harus pastikan ahli dan pimpinan disiplin parti, ini mesej saya dengar dengan jelas (daripada perwakilan)...,” katanya yang merujuk kepada pandangan perbahasan perwakilan semalam.

“Mahu tak mahu, kenyataannya ialah saya presiden, Azmin timbalan presiden, dan pimpinan naib presiden termasuk Zuraida.

“Perwakilan pun begitu, kita buat perkiraan, lebih 80 peratus setia bersama kita (dan tidak keluar dewan semalam),” katanya. 

Lihat Komen