malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Pemimpin PKR perlu hormat Anwar, jangan jadi talam 2 muka'
ADS

KONGRES PKR | Pemimpin PKR perlu menghormati Presidennya Anwar Ibrahim dan tidak bersikap talam dua muka menggunakan parti demi kepentingan diri sendiri, kata seorang perwakilan dari Kedah, Mohammed Firdaus Johari.

Meskipun tidak menamakan mana-mana individu secara khusus, terdahulu Mohammed Firdaus dalam ucapan perbahasannya menegur jawapan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali terhadap pemberita yang dilihat membezakan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang dilantik dan dipilih sewaktu pemilihan.

“Presiden pun mempunyai hak untuk memilih dan buat lantikan. Selepas presiden buat lantikan, kita harus hormat amanah parti, kita ketepikan kabilah, kita progres dan kerja terhadap amanah yang kita berikan.

“Apabila kita hormat presiden, automatik akar umbi akan terus hormati pada kita dan janganlah kita menjadi talam dua muka untuk bekerja untuk keuntungan diri sendiri,” katanya di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh, Melaka.

Sewaktu sesi perbahasan berlangsung, Anwar dan Azmin turut berada di dewan yang sama mendengar ucapan perbahasan Mohammed Firdaus.

Firdaus juga membangkitkan mengenai jawapan Azmin kepada pemberita sebelum ini mengenai kehadirannya ke kongres parti.

“Baru-baru ini, dua kali yang sudah, saya melihat, saya menonton satu video di mana timbalan presiden telah ditemuramah oleh wartawan dan jawapan yang diberikan ialah saya akan hadir ke kongres bersama pimpinan yang benar.

“Berulang kali saya melihat video tersebut, kenapa harus kita asingkan pimpinan yang menang dan pimpinan yang dilantik?

“Bagi saya, MPP yang dipilih dan MPP yang dilantik mempunyai proksi yang sama dan tak boleh kita beza-bezakan,” katanya.

Untuk rekod, daripada pemilihan lalu, majoriti daripada empat naib presiden dan 20 anggota MPP yang menang dikaitkan dengan Azmin.

Fasal 21.7 perlembagaan PKR menyatakan presiden perlu melantik tiga naib presiden dan tujuh anggota MPP lagi.

Azmin pada 29 Disember tahun lalu menggesa Anwar menilai semula pelantikan jawatan utama kepimpinan parti yang menurutnya tidak mencerminkan prinsip "perwakilan yang adil dan saksama" terhadap aspirasi anggota parti.

Sementara itu, pada awal perbahasannya hari ini, Mohammed Firdaus turut meminta Azmin yang juga menteri hal ekonomi untuk memperbaiki penghidupan golongan anak muda yang sedang tersepit dengan masalah kos sara hidup.

Katanya, pada pilihan raya umum yang lalu, anak muda mengundi untuk Pakatan Harapan kerana ingin menyaksikan perubahan situasi ekonomi yang lebih terbela.

“Ahamdulillah kita mempunyai seorang menteri hal ehwal ekonomi Malaysia daripada parti PKR, Datuk Seri Azmin Ali.

“Saya ingin bertanya, apakah program-program untuk anak muda sehingga kini yang dapat dirasai oleh golongan di bawah ini?

“Inilah yang perlu kita fikirkan bersama. Oleh itu saya amat berharap agar pimpinan dan juga menteri hal ehwal ekonomi dapat membuat satu anjakan paradigma di mana dapat memberikan satu penyelesaian kepada ekonomi anak muda,” katanya. 

Lihat Komen