malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Ahli Bersatu tapi masih ketua Wanita Umno bahagian' - Sumber
ADS

Seorang ahli politik wanita di Kelantan dikatakan menjadi ahli parti Bersatu, tetapi dalam masa yang sama masih memegang jawatan sebagai ketua Wanita Umno bahagian.

Perkara itu didedahkan seorang sumber kepada Malaysiakini, hari ini.

Menurut sumber, isu tersebut muncul di grup WhatsApp yang mendedahkan nama Ketua Wanita Umno Bahagian Tanah Merah, Dayang Saniah Awang Hamid juga merupakan seorang ahli Bersatu.

"Saya tidak pasti sejauh mana kebenaran dan kesahihan perkara itu.

"Mungkin perlu disemak melalui kedua-dua parti berkenaan," katanya yang enggan namanya disiarkan.

Sementara itu Ketua Bahagian Bersatu Tanah Merah, Bahari Mohd Nor ketika dihubungi mengesahkan bahawa nama Dayang Saniah tersenarai sebagai ahli Bersatu.

"Buat masa ini saya di luar kawasan dan menghubungi setiausaha bahagian untuk tujuan pengesahan. Katanya nama Dayang Saniah itu wujud dalam senarai keahlian Bersatu, namun saya akan akan menghubungi ibu pejabat parti bagi tujuan pengesahan lanjut.

"Sudah tentu kita akan siasat perkara ini," katanya.

Malaysiakini difahamkan Dayang Saniah memegang jawatan ketua Wanita Umno bahagian Tanah Merah sejak dua penggal lalu sehingga kini.

Sementara itu Bahari berkata, pihaknya akan menyenaraikan nama keahlian yang bertindih antara parti kepada ibu pejabat parti untuk tujuan pemutihan.

"Ia senarai yang bukan saja kes bertindih dengan parti pembangkang tetapi antara parti komponen PH," jelasnya.

Malaysiakini juga sedang mendapatkan maklum balas lanjut daripada Dayang Saniah berhubung hal ini.

Lihat Komen