PAU 2019 | Umno melakukan pindaan fasal 3 perlembagaan itu dengan meletakkan agama Islam di hadapan dalam perjuangan parti Melayu berusia 73 tahun itu.
Difahamkan 13 usul bagi meminda perlembagaan parti itu dikemukakan pada persidangan yang berlangsung hari ini dan kesemuanya diluluskan sebulat suara.
Mengikut fasal 3 perlembagaan Umno, asas dan tujuan: "Umno adalah sebuah parti politik yang berjuang mendukung cita-cita kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah dan martabat bangsa, agama dan negara.
Berdasarkan pindaan itu, Umno meletakkan Islam (agama) di hadapan kemudiannya disusuli dengan bangsa dan negara.
Pindaan itu selaras dengan kedudukan Islam sebagai agama persekutuan bagi negara ini.
Umno juga melakukan pindaan bagi fasal 4 perlembagaan parti itu membabitkan keahlian Umno iaitu membabitkan perkara 4.2 membabitkan had umur ahli.
Fasal 4.2 ahli biasa Umno ialah warganegara Malaysia yang berbangsa Melayu atau Bumiputera yang berusia 18 tahun keatas.
Persidangan agung Umno meluluskan pindaan bagi fasal berkenaan bagi membolehkan had usia ahli Umno diturunkan kepada 16 tahun.
Ia mengambil semangat terhadap pindaan had usia mengundi bagi rakyat Malaysia yang kini diturunkan kepada 18 tahun.
Selain itu pindaan perlembagaan juga dilakukan bagi mengangkat kedudukan jawatan ketua wanita Umno setaraf dengan timbalan presiden parti.
Dalam pada itu, pindaan perlembagaan juga dilakukan bagi membolehkan pendaftaran keahlian secara dalam talian oleh mereka yang ingin menjadi ahli bersekutu bagi Umno.
Menurut fasal 5.2 perlembagaan Umno, permohonan mendaftar sebagai ahli biasa hendaklah dikemukakan kepada jawatankuasa cawangan yang dikehendaki menerima dan meluluskan permohonan tersebut.
Melalui pindaan itu mana-mana individu yang ingin menjadi ahli bersekutu Umno boleh memohon secara terus dalam talian.