malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Anwar: Pecat dalang kekecohan kongres AMK
Diterbitkan:  Dec 6, 2019 3:56 PM
Dikemaskini: 7:56 AM
ADS

Presiden PKR Anwar Ibrahim menyifatkan pihak yang menimbulkan kekecohan di kongres Pemuda PKR (AMK) hari ini sebagai tidak beradab.

Anwar berkata beliau telah meminta lembaga disiplin parti untuk mengambil tindakan memecat pihak yang menimbulkan kekecohan berkenaan.

"Ingin saya maklumkan perlakuan biadab ini tidak boleh dibiarkan tanpa tindakan tegas.

"Justeru saya telah meminta lembaga disiplin parti untuk mengambil tindakan memecat pelaku yang bertanggungjawab.

"Saya juga mohon kerjasama pihak polis untuk menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya," katanya dalam kenyataan media petang ini.

Situasi tegang timbul sejak pukul lapan pagi lagi di hadapan pintu masuk dewan Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC).

Beberapa perwakilan mendakwa tidak dibenarkan masuk sedangkan pemuda berbaju hitam dikatakan hadir sebagai pemerhati dibenarkan masuk.

Kekecohan pagi itu turut melibatkan melibatkan bekas pengerusi tetap kongres Mizan Adli Mohd Noor tidak dibenarkan masuk dewan.

Ketua AMK Akmal Nasir mempertahankan keputusan untuk tidak membenarkan Mizan masuk dewan kerana dia sudah berumur lebih 35 tahun, iaitu umur maksimum ditetapkan untuk sayap pemuda PKR.

Sekitar tengah hari, pergaduhan tercetus sekali lagi di dalam bangunan MITC, sebelum melarat ke luar dewan.

Pergaduhan yang sehingga menyebabkan kecederaan itu melibatkan kumpulan pemuda berbaju hitam dengan anggota parti yang memakai baju korporat berwarna biru muda.

Kumpulan berbaju hitam berkenaan duduk di belakang bilik mesyuarat sepanjang pagi. Ketika laporan ini ditulis, mereka sudah tidak kelihatan.

Lihat Komen