malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Kongres AMK bermula kecoh, bekas pengerusi tetap dihalang masuk
ADS

KONGRES PKR | Kekecohan berlaku di luar dewan tempat berlangsungnya kongres Pemuda PKR hari ini, apabil bekas pengerusi tetap Mizan Adli Mohd Noor dan sejumlah ahli yang mengatakan mereka sebagai perwakilan, dilarang masuk.

Kekecohan bermula kira-kira pada jam lapan lagi apabila petugas keselamatan menghalang Mizan dan penyokongnya, dan kemudian menutup pintu dewan.

Situasi menjadi semakin tegang apabila kedua-dua pihak mula menjerit dan menolak satu sama lain.

Mizan yang berbaju Melayu hitam dilihat memberitahu pengawal keselamatan bahawa tindakan menghalangnya masuk adalah tidak adil.

Dia bagaimanapun berjaya masuk ke dewan selepas merempuh kerumuman di pintu dewan.

Bercakap dengan Malaysiakini kemudian, Mizan berkata dia dihalang kerana telah dilucutkan daripada jawatan pengerusi tetap.

"Mereka hanya pecat tapi mereka (pengawal keselamatan) tak beri saya masuk ke dalam dewan, ini tidak adil, tidak demokrasi.

"Hasil pertemuan presiden (Anwar Ibrahim) dan timbalan (Azmin Ali) sudah setuju untuk memilih (pengerusi tetap) yang baru. Jadi kenapa tak bagi saya masuk?" soalnya.

Sekretariat kongres kemudian menjelaskan kumpulan tersebut dilarang masuk kerana tiada pas yang sepatutnya.

"Hanya perwakilan yang ada pas yang betul dibenarkan masuk. Kami akan meneruskan kemasukan setelah keadaan terkawal," kata anggota sekretariat di kumpulan Whatsapp bersama pemberita.


BacaKongres Pemuda PKR umum pengerusi tetap, timbalan baru


Ketika kekecohan itu berlaku, Ketua Penerangan PKR Shamsul Iskandar Md Akin dalam dewan mengumumkan pelantikan pengerusi tetap dan timbalannya yang baru.

Setiausaha AMK Melaka Rashid Abu Bakar dipilih sebagai pengerusi tetap manakala Setiausaha AMK Kedah Wan Mohamad Syahezral Wan Shahidan sebagai timbalannya.

Mizan: Kongres tidak sah

Mizan kemudian membuat sidang media untuk mengecam insiden itu dan meletakkan kesalahan kepada Ketua AMK Akmal Nasrullah Nasir.

Dia turut mendakwa diserang secara fizikal dan diarahkan keluar selepas memasuki dewan tersebut.

"Adakah Akmal menggunakan gangster? Kita tak buat apa-apa.

"Sebarang keputusan mengenai jawatan tersebut (pengerusi dan timbalan pengerusi tetap) seharusnya dimuktamadkan di kongres, (tetapi) saya tak dibenarkan (masuk).

"Saya anggap kongres ini tidak sah kerana pelantikan (pengerusi dan timbalan pengerusi tetap baru) berlaku tanpa ada saya di dalam," katanya lagi.

Dia berkata mungkin akan membuat laporan polis berhubung insiden itu.

"Selepas sidang media ini, saya akan buat laporan polis atas kekasaran yang berlaku terhadap saya dan anggota parti lain," katanya yang mendakwa sejumlah 200 anggota parti tidak dibenarkan masuk.

Setelah sidang media tamat, pertembungan berterusan antara pengawal keselamatan dan anggota yang dihalang masuk.

Lihat Komen