BERITA

Anwar: Siapa hadir kongres lain akan dipecat

Ramieza Wahid

5 Dis 2019, 6:00 pagi

Dikemaskini setahun lepas

A
+
A
-

Presiden PKR Anwar Ibrahim memberi peringatan bahawa tindakan tegas akan diambil termasuk pemecatan keanggotaan parti jika ada percubaan untuk sabotaj Kongres Nasional yang diadakan di Melaka malam ini.

Jelasnya, ia adalah satu kesalahan yang besar.

“Dah kemuncak sebelum kongres semua cabang dan pimpinan hadir dan beri komitmen.

“[...]dan saya juga beri ingatan kalau diteruskan perjumpaan, diizinkan (makan minum), tetapi kalau ada percubaan untuk merosakkan semangat perpaduan oleh mana-mana pimpinan, tindakan tegas akan diambil termasuk pemecatan ahli jika sabotaj kongres (Kongres Nasional).

"Ini satu kesalahan yang besar,” katanya ketika ditemui pada sidang media di lobi parlimen hari ini.

Ditanya pemberita berkenaan spekulasi kongres berasingan yang dikatakan bakal berlaku hujung minggu ini, Anwar berkata ahli yang hadir kongres itu juga akan dipecat.

Tambahnya, sudah 83 peratus perwakilan parti janji akan hadir di Melaka bagi kongres PKR.

“Setakat ini tidak ada apa-apa. Ada percubaan kecil. Saya nak jelaskan sejak tiga hari lalu, 83 peratus perwakilan janji akan hadir kongres di Melaka kalau ada pun (kongres berasingan di Kuala Lumpur) sekitar 10 peratus.

“Saya harap tiada kalau wujud dan diteruskan mana- mana pemimpin yang hadir lagi akan pecat,” katanya.

Terdahulu, sejumlah pemimpin Pemuda PKR (AMK) pusat yang dipilih, mengkritik pengguguran Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali sebagai perasmi kongres AMK, dan sebaliknya digantikan dengan penasihat parti, Wan Azizah Wan Ismail, yang juga isteri Anwar.

Perkembangan itu hadir ketika PKR dilihat berdepan konflik dalaman antara kem Anwar dan kem Azmin.

Susulan itu, timbul spekulasi yang mengatakan kumpulan penyokong Azmin akan mengadakan kongres berasingan di Kuala Lumpur.

Semalam, Naib Ketua AMK Nazree Yunus berkata suatu pertemuan berasingan akan diadakan untuk anggota dan pemimpin PKR di Renaissance Hotel di Kuala Lumpur Sabtu dan Ahad ini, iaitu serentak dengan kongres tahunan perwakilan parti di Melaka.

"Yang saya dimaklumkan, ada pertemuan dan program kepimpinan PKR. Saya kira ia pertemuan biasa.

"Setakat ini, saya ingat saya boleh sahkan ada. Dua hari, Sabtu dan Ahad," kata Nazree kepada Malaysiakini.

Bagaimanapun, mesyuarat khas biro politik PKR petang semalam bersetuju  untuk Timbalan Presiden PKR Azmin Ali, merasmikan kongres AMK dan Wanita PKR di Melaka malam ini, manakala Wan Azizah akan menutupnya.

Diminta mengulas lanjut tentang pertemuannya dengan Azmin, Anwar berkata: “Pertemuan semalam biasa saja di mana timbalan presiden (Azmin) hadir mesyuarat khas dan kita rasakan perlu kongres itu diberikan perwakilan peluang untuk dengar semua pimpinan.

“Maka mesyuarat itu biasa dan suasana yang baik dan positif dan seperti biasa yang hadir saya ucapkan terima kasih yang bantu tenangkan suasana suhu ni meningkat dalam liputan media,” katanya.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Komen