malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Najib: Catat 'bersetuju' di surat permohonan pinjaman SRC bukan arahan, tak muktamad
ADS

KES SRC NAJIB | Bekas perdana menteri Najib Razak hari ini berkata catatan "bersetuju" olehnya dalam surat SRC International berkenaan permohonan pinjaman pada 2011 tidak bermaksud sebagai satu arahan.

Memberi keterangan dalam perbicaraan jenayahnya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, Najib berkata beliau tiada kuasa untuk memberi arahan kepada CEO Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) ketika itu, Azian Mohd Noh, untuk meluluskan permohonan pinjaman berjumlah RM3.95 bilion tersebut.

"Tidak sama sekali. Sebagai menteri kewangan, saya sememangnya tiada kuasa untuk mengarahkan KWAP untuk meluluskan apa-apa pinjaman seperti itu.

"Kuasa tersebut terletak di bawah panel pelaburan seperti yang dinyatakan dalam Akta Kumpulan Wang Persaraan 2007 yang memperuntukkan bahawa panel pelaburan mempunyai kuasa mutlak untuk memutuskan perkara-perkara yang dibawa ke hadapannya.

"Malah Azian sendiri tiada kuasa untuk meluluskan pinjaman-pinjaman bagi pihak KWAP. Sebagai CEO KWAP, beliau hanyalah seorang ahli ‘ex-officio’ panel pelaburan yang tidak mempunyai kuasa untuk mengundi," kata Najib.

Hari ini merupakan hari pertama bekas presiden Umno itu memberi keterangan selepas mahkamah mengarahkannya membela diri terhadap tujuh pertuduhan jenayah berkaitan dana SRC.

Dalam perbicaraan sebelum ini, Azian dalam keterangannya berkata seorang pembantu kepada perdana menteri dan menteri kewangan ketika itu (Najib) telah menyerahkan surat permohonan pinjaman SRC kepadanya pada Jun 2011.

Menurut keterangannya, surat bertarikh 3 Jun 2011 itu ditandatangani pengarah SRC International Nik Faisal Ariff Kamil dan turut mengandungi nota bertulisan tangan oleh Najib yang menyatakan "Bersetuju dengan cadangan ini".

Beliau berkata walaupun tiada kewajipan undang-undang untuknya meluluskan permohonan itu, nota Najib itu memberi pengaruh pada tahap tertentu pada permohonan tersebut.

"Dia bos sebenar (ultimate boss) saya, jadi saya tak nafi ada pengaruh pada tahap tertentu," katanya pada 10 Jun lalu.

Aziah Mohd Noh

Bagaimanapun Najib hari ini berkata nota seperti itu tidak bermaksud muktamad.

Beliau mendakwa ada ketikanya pegawai kerajaan tidak setuju dengan keputusannya.

"Terdapat keadaan-keadaan di mana saya telah memberi persetujuan atau telah mencatit 'bersetuju' dan kemudian pegawai-pegawai tidak menyokong dan telah merayu kepada saya maka saya boleh menukar keputusan saya.

"Justeru perkataan 'bersetuju' bukanlah bermaksud muktamad dan tidak boleh diubah. Ia tertakluk kepada proses penelitian oleh para pegawai yang ada kala memberi pendapat yang berbeza. Oleh it perkataan ‘bersetuju’ bukanlah bermakna persetujuan carte blanche (berkuasa penuh).

"Ianya tidak menghalang pendapat-penadapat yang berbeza untuk diutara dan dipertimbangkan," katanya lagi.

Najib pertikai bukti oleh bekas pengerusi SRC

Sementara itu Najib turut mempertikai dokumen SRC Inernational yang diserahkan sebagai bukti pendakwaan menerusi keterangan bekas pengerusi syarikat itu, Ismee Ismail.

Najib mendakwa beliau tidak pernah melihat tiga set minit Mesyuarat Agung Tergempar (EGM) dan Resolusi Pemegang Hak Hak Khas sebelum ini.

"Saya faham bahawa tiada salinan asal yang telah diberikan kepada mahkamah. Saya mendapati bahawa terdapat dokumen di mana tandatangan saya telah dimanipulasi dan dipalsukan.

"Melihat kepada kandungan dokumen ini, saya tidak percaya bahawa ini adalah dokumen yang pernah saya lihat atau ditandatangani bagi pihak MKD (Menteri Kewangan Diperbadankan).

"Perkara-perkara yang digariskan di dalamnya adalah perkara-perkara operasi yang merupakan sebahagian daripada tanggungjawab dan budi bicara lembaga pengarah. Ia bukanlah kebiasaan saya untuk menandatangani dokumen-dokumen seperti ini bagi pihak MKD tanpa sebarang resolusi terlebih dahulu daripada lembaga pengarah dan juga cadangan bahagian MKD mengenainya," katanya.

Najib juga menyuarakan kejutannya berkenaan keterangan Ismee yang mendakwa beliau menggunakan dokumen tersebut untuk menentukan keputusan lembaga pengarah SRC International.

"Saya terkejut mendengar keterangan Ismee yang mana pandangan beliau bertentangan dengan pengalamannya dalam beberapa GLC.

"Saya pastinya tidak menandatangani mana-mana dokumen yang mengarahkan lembaga pengarah mengenai hal-hal yang mereka harus selesaikan terlebih dahulu demi kepentingan syarikat," katanya lagi.

Ringkasan kes Najib berhubung dana SRC RM42 juta

Najib Razak berdepan 7 tuduhan berkaitan dana RM42 juta melibatkan SRC International, bekas anak syarikat 1MDB

  • 1 tuduhan salah guna kuasa
  • 3 tuduhan pecah amanah
  • 3 tuduhan pengubahan wang haram

 

Lihat Komen