malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
16,000 mangsa banjir di Kelantan, Terengganu
ADS

Jumlah mangsa banjir di Kelantan terus meningkat sementara keadaan di Terengganu bertambah pulih, petang ini.

Di KELANTAN, 13,080 mangsa banjir membabitkan 4,670 keluarga dicatatkan pada pukul 4.00 petang tadi berbanding 12,468 mangsa daripada 4,341 keluarga pada 1 tengah hari tadi.

Berdasarkan aplikasi InfoBencanaJKM, jumlah mangsa banjir tertinggi dicatatkan di Pasir Mas melibatkan 8,641 orang (3,384 keluarga) yang ditempatkan di 29 pusat pemindahan sementara (PPS).

Ia diikuti Tumpat dengan 1,856 mangsa (613 keluarga); Pasir Puteh (826 mangsa, 219 keluarga); Kuala Krai (653 mangsa,146 keluarga); Kota Bharu (616 mangsa ,168 keluarga); Tanah Merah (348 mangsa,102 keluarga) dan Machang (140 mangsa, 38 keluarga).

Dalam pada itu, laman sesawang ebanjir.kelantan.gov.my menunjukkan beberapa sungai melepasi paras bahaya dengan Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas (10.40 meter), Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat (3.30 meter), manakala Sungai Kelantan di Jambatan Guilemard, Kuala Krai melepasi paras amaran (14.69 meter).

Bagaimanapun, paras air di kebanyakan sungai utama di Kelantan menunjukkan trend menurun kepada paras berjaga-jaga dan normal berikutan cuaca yang baik sejak pagi tadi.

Di TERENGGANU, jumlah mangsa banjir terus menurun kepada 3,004 orang membabitkan 845 keluarga di 66 PPS berbanding 3,962 orang membabitkan 1,146 keluarga di 83 PPS tengah hari tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Left Kol Che Adam A Rahman berkata cuaca yang semakin baik di Besut menjadikan jumlah mangsa berkurangan kepada 1,094 orang daripada 325 keluarga di 25 PPS berbanding 1,393 orang (368 keluarga) di 31 PPS tengah hari tadi.

Beliau berkata situasi banjir di Hulu Terengganu juga semakin baik apabila jumlah mangsa berkurangan kepada 294 orang daripada 85 keluarga di lima PPS berbanding 458 orang (193 keluarga) di tujuh PPS sebelum ini manakala di Setiu, jumlah mangsa menurun kepada 974 orang daripada 261 keluarga di 20 PPS berbanding 1,406 orang (398 keluarga) di 26 PPS tengah hari tadi.

Jumlah mangsa di kawasan lain ialah Kuala Nerus (333), Dungun (262), Marang (34) dan Kuala Terengganu (13).

Dalam pada itu, Jabatan Pengairan dan Saliran melalui portal http://publicinfobanjir.water.gov.my/ melaporkan Sungai Dungun di Jambatan Jerangau, Dungun (13.27 meter) dan Sungai Nerus di Kampung Bukit (13.30 meter) melepasi paras bahaya.

“Ketika ini, cuaca bertambah baik di seluruh negeri dan dijangka lebih ramai mangsa boleh dibenarkan pulang ke rumah masing-masing petang ini dan semua laluan dari Jerteh ke Hulu Besut yang dinaiki air semalam sudah boleh dilalui seperti biasa hari ini,” katanya.

Di JOHOR, jumlah mangsa yang terjejas akibat banjir di daerah Batu Pahat kekal 52 mangsa daripada 13 keluarga setakat 5 petang.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar Johor, Tan Chen Choon berkata kesemua mangsa diberi perlindungan di pusat pemindahan Sekolah Agama Seri Comel.

- Bernama

Lihat Komen