malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Cukai jalan Zahid Hamidi lebih RM35,000 setahun - saksi
ADS

Bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi membayar RM35,726.80 setahun untuk cukai jalan kenderaan-kenderaan yang hampir semua didaftarkan atas namanya.

Perkara itu dimaklumkan Penolong Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Putrajaya, Zaharudin Zainuddin dalam pernyataan bertulisnya semasa perbicaraan kes pecah amanah dana milik Yayasan Akal Budi hari ini, yang masuk hari keenam.

Zaharudin mengesahkan jumlah cukai jalan yang tertera pada dokumen maklumat kenderaan apabila dokumen itu dirujuk kepadanya oleh timbalan pendakwa raya Lee Keng Fatt, di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Selain itu, dia turut dirujuk dengan dokumen maklumat terperinci kenderaan dan insurans kenderaan dan diminta mengesahkan nama pemilik kenderaan seperti yang didaftarkan pada dokumen tersebut.

Kenderaan itu yang kebanyakannya kenderaan mewah, melibatkan 11 kereta, kenderaan pelbagai guna (MPV) dan kenderaan utiliti sukan (SUV), serta sembilan motosikal mewah dan kapcai.

Hampir semua kenderaan itu didaftarkan dengan nombor pendaftaran 38.

Kenderaan yang didaftarkan atas nama Ahmad Zahid termasuklah Toyota Vellfire (dua unit), dua unit Lexus termasuk satu model LX 460 , BMW 320i, Chrysler Jeep Wrangler, Audi Q7 dan Honda Odyssey.

Motosikal mewah dan kapcai yang didaftarkan atas nama Ahmad Zahid pula ialah Harley Davidson (dua unit), BMW (tiga unit- model R 1200 GS, R 1200 RT dan C 600), Ducati Diavel Carbon, dan Honda C100.

Kenderaan yang didaftar atas isteri Ahmad Zahid, Hamidah Khamis ialah kereta Mercedez Benz CLS 350 dan MPV Toyota Vellfire, serta dua motosikal Ducati Hypermotard dan Kawasaki KLX250 V.

Satu SUV mewah Toyota Land Cruiser pula didaftarkan atas nama Juhari Janan, yang pernah berkhidmat sebagai pegawai khas Ahmad Zahid beliau menjawat jawatan timbalan perdana menteri dan menteri dalam negeri.

Lee: Bagi kenderaan-kenderaan yang dirujuk tadi, ia milik persendirian?

Zaharudin: Ya

Lee: Bagi dokumen maklumat terperinci kenderaan dan insurans yang kamu rujuk tadi, dan dokumen maklumat kenderaan LKN (lesen kenderaan motor) tadi, adakah ia maklumat yang dah dikemaskini sehingga tarikh cetakan?

Zaharudin: Ya betul

Lee: Encik tahu tak berapakah nilai cukai kenderaan berkapasiti enjin petrol 1598 CC?

Zaharudin: RM180

Lee: Adakah encik tahu berapa nilai cukai jalan cukai kenderaan berkapasiti enjin petrol 2979 CC?

Zaharudin: RM1606.40

Zaharudin yang merupakan saksi ke-12 pendakwaan, kemudiannya dibebaskan setelah pihak pembelaan tidak berminat untuk melakukan pemeriksaan balas ke atas Zaharudin.

Ahmad Zahid berhadapan dengan 47 pertuduhan, 12 daripadanya membabitkan pecah amanah (CBT), lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana yayasan itu.

Pasukan pendakwaan memulakan perbicaraan dengan cuba membuktikan Ahmad Zahid, selaku pemegang amanah, menyeleweng kira-kira RM31 juta dana milik Yayasan Akalbudi.

Zaharudin Zainuddin

Sebaliknya, melalui jejak aliran tunai, pihak pendakwaan akan membuktikan satu amaun besar daripada dana itu digunakan untuk, antara lain, membayar bil kredit kad peribadi, membeli polisi insurans kenderaan-bermotor dan membeli cukai jalan untuk kenderaan milik peribadi.

Terdahulu pagi tadi, saksi ke-10, Yeoh Eng Leong dimaklumkan bahawa 25 cek yang digunakan untuk membuat pembayaran terhadap empat kad kredit Ambank milik Ahmad Zahid dan Hamidah ditandatangani menggunakan cap tandatangan.

Untuk rekod, Ahmad Zahid ialah pemilik utama keempat-empat kad kredit berkenaan.

Hal itu didedahkan peguam bela Ahmad Zahid, Hisyam Teh Poh Teik dalam sesi pemeriksaan balas ke atas keterangan yang diberikan Yeoh semalam berhubung perbelanjaan dan pembayaran kad kredit berkenaan.

Yeoh ialah naib presiden kanan (pengurusan pengesahan kad kredit dan kawalan penipuan) Ambank Berhad.

Semalam, Hisham mendedahkan hal sama kepada saksi kesembilan, GS Anoop Singh yang merupakan naib presiden (ketua pengurusan penipuan dan pertikaian), Malayan Banking Berhad (Maybank) berhubung sebahagian cek yang digunakan untuk membayar kad kredit dan kad caj Maybank milik Ahmad Zahid.

Hisyam merujuk satu laporan oleh Jabatan Kimia Malaysia yang menyatakan bahawa daripada semua cek yang dihantar ke jabatan tersebut untuk dinilai, sebanyak 32 cek didapati bukan dihasilkan menggunakan tulisan tangan, sebaliknya menggunakan cap tandatangan.

Ketika disoal Hiyam adakah dia tahu cek-cek tersebut dicap bukan oleh Ahmad Zahid tetapi oleh bekas pembantu peribadinya, Mejar Mazlia, Yeoh menjawab “tidak tahu”.

Selepas Yeoh, saksi kesebelas, Royasmin Mohd Roddy yang merupakan kerani Affin Bank, turut memberi keterangan dan mengesahkan beberapa dokumen.

Perbicaraan bersambung esok.

Lihat Komen