malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Isu tatu diolah untuk gambarkan k'jaan tak jaga Islam - Mujahid
ADS

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof berkata isu berkenaan Tattoo Malaysia Expo 2019 yang berlangsung di ibu negara hujung minggu lalu diolah pihak tertentu untuk menjadikan naratif bahawa kerajaan hari ini tidak menjaga Islam.

Menurut Mujahid, ini kerana program tersebut bukan di bawah kendalian kerajaan dan sama sekali tidak pernah mendapat pengiktirafan Kementerian Pelancongan.

“Penafian dari kementerian pelancongan itu sendiri menggambarkan bahawa kita tidak pernah menyokong program sebegitu rupa.

“Cuma, saya fikir dalam hal ini pihak tertentu sekali lagi dan buat sekian kalinya menjadikan isu ini untuk menyerang kerajaan. Kononnya dulu tak pernah berlaku tapi sekarang berlaku.

"Sedangkan kita tidak ada kena mengena dengan apa yang berlaku dan sengaja disebarkan dalam media seolah kitalah yang merencanakannya.

“Jadi, dengan itu naratif mereka tercapai. Apa naratif mereka? Kerajaan hari ini tidak jaga Islam dan sebagainya dan saya sebagai menteri agama tidak mungkin kita boleh membiarkan perkara ini dari segi ia dikaitkan dengan kerajaan,” katanya kepada pemberita.

Mujahid sebelum itu hadir merasmikan Seminar Antarabangsa Islam dan Kelestarian Ekologi di Institut Pengajian Islam Lanjutan Antarabangsa (IAIS), Kuala Lumpur.

Mujahid berkata demikian merujuk pada acara Tattoo Malaysia Expo 2019 yang mencetus kontroversi kerana menamilkan model yang memperagakan tatu separuh bogel.

Media tempatan semalam melaporkan Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Mohammaddin Ketapi sudah mengarahkan tindakan sewajarnya diambil ke atas penganjur.

Menurut Mohammaddin, acara berkenaan telah melanggar tatasusila masyarakat sekali gus tidak mempamerkan wajah sebenar Malaysia.

Mengulas berhubung tindakan undang-undang yang boleh diambil, Mujahid berkata sebagai menteri yang menjaga hal ehwal agama beliau hanya boleh memberi amaran dan nasihat sahaja.

Sebaliknya, dari sudut penguatkuasaan undang-undang beliau menyerahkannya kepada kementerian pelancongan, kementerian dalam negeri dan pihak berkuasa tempatan.

Jaga sensitiviti budaya perdana

Selain itu, Mujahid turut menyeru rakyat Malaysia agar lebih sensitif serta berusaha mengelakkan perkara yang tidak menggambarkan budaya perdana di negara ini.

“Di pihak kerajaan pastinya saya mahu mengingatkan semua pihak, kita boleh melakukan apa sahaja selagi ia mengikut undang-undang, ikut sensitiviti dan kalau pun ia di lihat sebagai satu seni maka buatlah dalam keadaan tertutup serta pada kelompok tertentu sahaja.

“Janganlah buat ia secara terbuka, kemudian yang lebih buruk hari ini kita tak boleh elak bila ada orang tularkan dalam media sosial dan lebih buruk orang ambil kesempatan (menuduh) ini kerajaan yang buat.

“Sebab kita sentiasa berpegang kepada undang-undang, sensitiviti dan juga hak yang kita boleh kawal serta bukan dengan cara mutlak sebegitu,” katanya.

Sementara itu, mengulas isu sama, Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Zulkifli Mohamad yang ditemui Malaysiakini berkata beliau berpendapat rakyat Malaysia sewajarnya meraikan sensitiviti semua pihak.

Pada masa sama, katanya, semua pihak juga perlu cakna dalam menjaga keharmonian sedia dalam negara, hari ini.

“Saya berpendapat dalam isu seperti ini sewajarnya kita meraikan sensitiviti semua pihak, sementelah lagi kalau dari segi tatasusila budaya rakyat Malaysia kalau Islam kita memandang tegas dalam isu tatu dan juga pakaian-pakaian yang terlalu menzahirkan aurat maka sewajarnya dihindarkan perbuatan seperti ini.

"Saya mohon kepada semua pihak agar perkara seperti ini tidak berlaku lagi selepas ini.

“Semua perlu mengambil kecaknaan, keprihatinan dan juga merasakan untuk menjaga sesama masyarakat Malaysia tentang keharmonian dan juga emosi masing-masing,” katanya.

Lihat Komen