malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Kamu nak saya jadi PM pada usia 100 tahun?'
ADS

Dr Mahathir Mohamad hari ini secara santai dan bergurau menjawab soalan berhubung rang undang-undang (RUU) yang mengehadkan seseorang ahli Dewan Rakyat memegang jawatan perdana menteri selama dua penggal.

Ditemui media di lobi parlimen, perdana menteri berkata usia beliau sekarang sudah menjangkau lebih 90 tahun.

"Saya dah 94 tahun. Adakah kamu mahu saya jadi perdana menteri pada usia 100 tahun?" katanya.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong, dan Timbalan Menteri Kewangan, Amiruddin Hamzah.

Terdahulu Dr Mahathir ditanya pemberita mengenai pendapatnya berhubung RUU berkenaan yang akan diperkenalkan buat kali pertama di negara ini.

Melalui RUU tersebut tempoh untuk seseorang ahli Dewan Rakyat menduduki jawatan perdana menteri hanya dibenarkan selama dua penggal.

Peruntukan seumpama itu tidak pernah wujud sebelum ini.

Untuk rekod Dr Mahathir menjadi perdana menteri paling lama memegang jawatan tersebut. Anak kelahiran Kedah itu dilantik sebagai perdana menteri untuk kali pertama pada Julai 1981, iaitu menjelang pilihan raya umum (PRU) keenam.

Beliau kemudian melepaskan jawatan perdana menteri pada Okt 2003, menjelang PRU ke-11 yang diadakan pada 2004.

Dalam keadaan itu Dr Mahathir menjadi perdana menteri selama empat penggal.

Pengganti beliau - Abdullah Ahmad Badawi - hanya berada di kedudukan tersebut selama satu penggal, diikuti Najib Razak selama dua penggal.

Sementara itu, melalui RUU itu yang aka dibentangkan hari ini, ia bertujuan untuk menggantikan perenggan (a) Fasal (2) Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan untuk mengadakan peruntukan bagi kriteria tambahan berhubungan dengan kelayakan ahli Dewan Rakyat sebagai perdana menteri.

Lihat Komen