malaysiakini logo
story-image
ADS

PULASAN | Usia Puan Asma sudah hampir 67 tahun. Pada usia begitu dia tinggal di rumah kos rendah satu bilik di Flat Kampung Melayu, George Town. Bukan rumah sendiri, tetapi milik saudara bekas suaminya.

Dia menjadi balu kira-kira 19 tahun silam. Suaminya sakit dan selepas beberapa ketika di hospital, lelaki itu ditakdirkan meninggal dunia.

Pada 1980-an dia mula bekerja di Hospital Pulau Pinang (HPP). Ketika itu tugasnya ialah menjahit pakaian hospital, cadar atau kain lain yang digunakan di HPP.

Dia memang memiliki sijil kemahiran menjahit.

Sampai masa, dia pun pencen. Untuk seketika dalam usia yang pikun Puan Asma masih bekerja dengan syarikat yang diberi kontrak menjahit keperluan hospital untuk beberapa lama.

Difahamkan dengan kerja sebegitu Puan Asma dibayar gaji kurang daripada RM2,000 sebulan.

Hinggalah dia sukar berdiri atau berjalan. Lututnya bermasalah. Selepas mendapat pandangan doktor, dia menjalani prosedur penggantian lutut total (TKR) di Sungai Buloh lebih dua tahun lalu.

Selepas selesai, Puan Asma membuat tuntutan kepada kerajaan. Kira-kira tiga bulan kemudian dia pun menerima bayaran sepatutnya - kira-kira RM7,000.

Tahun lalu dia menjalani prosedur TKR sekali lagi. Kali ini untuk lutut kanan pula. Dengan andaian dan sangkaan baik, dia menjalani pembedahan itu dengan kos kira-kira RM6,000 pula. Tidak dapat dipastikan mengapa ada sedikit perbezaan pada kos prosedur berkenaan.

Kali ini Puan Asma yang tinggal di tingkat entah berapa belas flat kos rendah itu terpaksa menunggu lama. Memang dia ada adik-beradik yang sedia membantu. Masalahnya, bukan Puan Asma saja yang bergelut untuk hidup. Orang lain pun.

Banyak bertelagah

Selepas beberapa bulan, pihak kerajaan - mungkin bahagian tertentu di Jabatan Perkhidmatan Awam - dihubungi. Soalan yang wajar ditanya ialah bila tuntutan itu akan diterima.

Difahamkan petugas di situ memberitahu, ada kira-kira 300 orang yang sedang menunggu dengan bekas tukang jahit HPP itu. Katanya, di bawah Malaysia Baru, urusan berkenaan kini diuruskan Kementerian Kewangan. Entah betul, entah tidak.

Tapi itulah. Dalam Malaysia Baru, adalah lebih sedap untuk para ahli parlimen, menteri, timbalan menteri atau yang seumpama dengannya bergaduh sesama sendiri berbanding tekun mencari jalan meringankan beban rakyat.

Untuk mengeluh, marah-marah atau merungut pun susah juga. Sebab, kita memang mengundi mereka - yakni menteri, timbalan menteri atau ahli-ahli parlimen yang membentuk PH sekarang - untuk bergaduh sesama sendiri.

Amat rugi kalau mereka berdamai atau mengelak untuk bertelagah sepanjang masa menjadi kerajaan. Tugas memperjuangkan nasib rakyat terbanyak hanya layak dilangsaikan semasa tiada kuasa.

Semasa ada kuasa, apa lagi yang lebih sedap dan nikmat daripada bergaduh sesama sendiri demi kelangsungan kuasa sendiri. Lagi pun tanah ini beramal dengan sistem demokrasi.

Demokrasi itu sejenis makhluk yang tidak boleh bersuara. Maka menjadi beban tanggungjawab yang besar untuk ahli politik melacurkan demokrasi semahu-mahunya.

Untuk mengabsahkan kegiatan itu, ada pengerasnya. Maka nama "rakyat" dijadikan mahar untuk menambah kenikmatan berkelahi sesama sendiri, sesama dalam parti atau antara parti.

Persetankan keluh-kesah rakyat di bawah sana yang sebahagian besarnya terpaksa bergelut untuk mencukupkan keperluan harian.

Demokrasi yang dilacurkan itu kemudian menjadi lebih gebu dan menggiurkan apabila dihiasi dengan khabar-khabar bohong dan olok-olok bersalut sentimen perkauman dan agama.

Terselindung rahmat

Ketika menteri, timbalan menteri dan ahli parlimen sepatutnya bersilat dalam 'perang yang lagi satu' itu, mereka lebih leka bergaduh dan bertengkar sesama sendiri secara terang-terangan.

Maklumlah, darah pembangkang masih membuak-buak. Dan - diulang sekali lagi - rakyat mengundi mereka memang bukan untuk berkhidmat dan memberikan bukti bahawa mereka lebih baik berbanding kerajaan dulu, sebaliknya untuk bergaduh siang dan malam.

Kalau perlu, buat dua kongres tahunan pun tak apa. Jika di seberang lautan sana ada Parti Demokrasi Indonesia (PDI) dan Parti Demokrasi Indonesia - Perjuangan (PDI-P), apa salahnya di Malaysia juga cuba dibidankan yang begitu juga.

Lagi pun, sesiapa saja boleh menggunakan istilah perjuangan. Seperti halnya dengan demokrasi, ia juga boleh dilacurkan semahu-mahunya oleh sesiapa saja yang tergamak menjadi pelanggannya.

Seperti halnya di Indonesia yang meriah dengan pelbagai parti politik, kita juga wajib mencontohi pesta yang diizinkan demokrasi itu. Maka, perseteruan yang sedang berlangsung sekarang ini sebenarnya sihat.

Konflik sebegitu akhirnya akan membawa porak-peranda yang terselindung rahmat di sebaliknya. Jika tiada krisis, maka tiadalah sebab yang kukuh untuk membentuk parti baru atau kumpulan baru. Jika tiada pergaduhan, bagaimana kita mahu membuktikan bahawa demokrasi Malaysia subur, kan?

Pedulilah keroncong yang bersenandung dalam perut rakyat di ceruk-ceruk kampung sana. Demokrasi wajib dimeriahkan.

Tidak boleh tidak. Kelaparan boleh tunggu dulu kerana keserakahan kepada jawatan dan kuasa jauh lebih penting daripada semua itu.

Keroncong perut rakyat

Kalau rakyat rasa tertipu dengan janji-janji dulu, persetankan. Jika mereka beranggapan isu rasuah, salah guna kuasa dan kemewahan berbelanja menteri-menteri rejim dulu sebenarnya rekayasa kerajaan sekarang, itu juga bukan masalah besar.

Kalau ada pengerusi agensi kerajaan bertanya khabar sambil berkirim salam, biarlah salam itu dijawab dengan apa yang tidak sepatutnya.

Kerana bergocoh sesama sendiri lebih nikmat.

Biarkan orang ramai seperti Puan Asma itu menjadi saksi pertunjukan percuma itu. Tidak perlu sebarang klip video yang dirakam secara sulit lagi. Tidak perlu mana-mana premis tertutup seperti bilik hotel, kondominium mewah atau seumpamanya.

Memang akhirnya Puan Asma menerima wang tuntutan pembedahan kedua TKR lututnya itu. Jika dulu selepas tiga bulan, kini di bawah Malaysia Baru, enam bulan.

Apabila ada pegawai kerajaan memberitahu bahawa bukan Puan Asma seorang yang sedang menunggu bayaran tuntutan mereka dilunaskan tetapi ada ratusan yang lain, biarkan dulu. Bergocoh sesama sendiri jauh lebih nikmat.

Kalau perlu menteri, timbalan menteri atau ahli parlimen boleh salahkan daulah terpendam sebagai sumber onar.

Memang tidak mustahil daulah terpendam itu ada. Malah ada banyak bukti yang boleh menguatkan wasangka itu. Tetapi seperti keroncong perut rakyat marhaen, daulah terpendam pun boleh tunggu dulu.

Bergaduh, bercakaran sesama sendiri jauh lebih sedap dan akhirnya akan tercapailah keinginan mereka, iaitu mengecapi inzal.


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini yang biasanya tidak menggemari sebarang kongres, konvensyen, muktamar atau perhimpunan parti politik.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen