malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Musim bunga paling panas di Australia dalam tempoh 120 tahun
ADS

GLOBAL | Musim bunga di Australia kali ini mencatatkan cuaca paling kering untuk tempoh 120 tahun, lapor agensi berita Xinhua memetik Biro Meteorologi (BOM) negara itu pada Isnin.

Menurut BOM kebanyakan negeri di Australia menerima jumlah hujan yang jauh di bawah purata dengan kebanyakan negeri mengalami cuaca paling kering dalam sejarah.

Musim bunga 2019 mencatatkan rekod cuaca terpanas di Australia dengan suhu tertinggi pada 47.1 darjah celsius, yang direkodkan pada pertengahan November di Australia Barat.

"Curah hujan untuk musim bunga di sebahagian besar Australia rata-rata berada di bawah paras sepatutnya dan secara keseluruhan mencatatkan rekod musim paling kering.

"Jumlah curahan hujan yang sedikit serta berpanjangan di timur Australia memberi impak besar kepada komuniti dan alam sekitar," kata laporan itu.

Rekod cuaca panas dan kering menjejaskan ramai penduduk di kawasan pertanian luar bandar terutamanya di tempat yang sukar mendapat bekalan air dan mendorong catuan dikenakan.

Bekalan air di Sydney menurun di bawah 50 peratus pada awal tahun ini dan di ramal terus menurun kepada di bawah 40 peratus pada awal 2020, dengan NSW Premier Gladys Berejiklian mengumumkan lebih banyak langkah catuan air akan diambil.

Keadaan itu juga menyebabkan banyak kebakaran belukar berlaku berbanding tahun sebelumnya.

"Cuaca yang sangat kering dan panas melebihi suhu purata menyebabkan peningkatan risiko kebakaran di seluruh New South Wales dan Queensland semasa musim bunga," kata laporan itu.

"Beberapa kebakaran besar dan berbahaya telah berlaku di kedua-dua negeri itu sejak awal September, mengakibatkan kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda"

- Bernama

Lihat Komen