Pengiklanan

    Kementerian Pertahanan mahu bajet paling kurang 1% dari KDNK

    (Dikemaskini )
    Yasmin Ramlan  |  Berita

    Menteri Pertahanan Mohamad Sabu ingin supaya kementeriannya mendapat peruntukan sekurang-kurangnya satu peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setiap tahun.

    Beliau berkata demikian selepas ucapan pembentangan Kertas Putih Pertahanan (KPP) di Dewan Rakyat petang tadi.

    "Kita mahukan (peruntukan) satu peratus daripada KDNK setiap tahun, sekurang-kurangnya.

    "Tetapi untuk RMK 12 dan 13 (Rancangan Malaysia Ke-12 dan Ke-13) kita sudah rangka. Kita minta lebih (peruntukan)," katanya pada sidang media di lobi parlimen hari ini.

    Untuk rekod, Belanjawan 2020 menyaksikan peruntukan sebanyak RM15.6 bilion kepada Kementerian Pertahanan.

    KDNK Malaysia bagi 2018 adalah bernilai RM1,446.9 bilion meningkat daripada RM1,371.6 bilion pada 2017.

    Mengulas lanjut mengenai permintaan terhadap bajet itu, Mohamad menjelaskan ia merupakan peruntukan yang diminta oleh Kementerian Pertahanan dan turut disokong oleh barisan pembangkang.

    Menurutnya lagi, KPP merupakan dokumen terbuka yang boleh diakses oleh rakyat yang merangkumi dasar baru pertahanan negara yang menetapkan hala tuju kerajaan yang bertujuan melindungi kepentingan negara serta mempertahankan kedaulatan dan keutuhan wilayah bagi tempoh 10 tahun iaitu dari 2021 sehingga 2030 yang merangkumi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK 12) dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK 13). 

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih