Pengiklanan

    Pekerja pembersihan hospital protes depan Kementerian Kesihatan

    (Dikemaskini )
    Berita

    Ratusan pekerja pembersihan hospital mengadakan bantahan di depan ibu pejabat Kementerian Kesihatan di Putrajaya hari ini, mendakwa mereka ditakut-takutkan oleh syarikat yang akan mengambil alih kontrak pembersihan.

    Bantahan yang berlangsung tengah hari tadi dianjurkan Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan disertai pekerja pembersihan dari hospital di Perak dan Pulau Pinang.

    Menurut laman web PSM, pekerja yang mengadakan bantahan itu merupakan ahli Kesatuan Pekerja-pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan di Hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia (KPSPSHKSM).

    PSM berkata kesatuan yang melindungi hak pekerja swasta itu akan dianggap sebagai terbubar apabila syarikat baru itu mengambil alih kontrak penyelenggaraan bermula tahun depan.

    Perkara itu dinyatakan sendiri oleh syarikat itu kepada pekerja-pekerja tersebut, dakwa parti itu lagi.

    Kontraktor semasa, NS Medik Sdn Bhd, yang telah menjadi penyelenggara selama 10 tahun, dikatakan menyerahkan subkontrak untuk tugas itu kepada salah satu syarikat di bawah syarikat induk yang sama (sister company).

    Ketika bantahan itu, PSM menghantar memorandum kepada Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad akan meneliti perkara itu.

    Turut hadir ialah timbalan pengerusi S Arutchelvan dan setiausaha agung A Sivarajan.

    Ketika dihubungi kemudian, pemimpin PSM M Sarasvathy berkata para pekerja, yang kebanyakannya telah berkhidmat dengan syarikat itu selama 20 tahun, telah diberi borang pekerjaan yang baru.

    "Mereka diberitahu untuk mengisi borang itu, jika tidak mereka tiada kerja pada Januari nanti.

    "Syarikat baru mahu serap mereka sebagai pekerja baru. Ini bermakna faedah pekerjaan, yang mereka nikmati sekian lama, akan berkurangan," katanya.

    Katanya lagi, kebanyakan pekerja tidak pasti sama ada mereka akan diambil kerja oleh syarikat baru itu kerana perlu melalui temuduga.

    "Syarikat akan pilih pekerja dan mereka yang dipilih akan diberi tempoh percubaan selama tiga bulan.

    "Anda telah kerja selama 20 tahun, dan kini perlu lalui tempoh percubaan sekali lagi," katanya kepada Malaysiakini, sambil mendakwa sejumlah 2,000 pekerja berdepan dengan risiko tersebut.

    Sarasvathy berkata KPSPSHKSM telah membuat aduan kepada Jabatan Perhubungan Perusahaan.

    Menurut laman web PSM, memorandum persefahaman telah dimeterai antara pihak syarikat dan kesatuan pada 6 November, tetapi ancaman didakwa masih berterusan.

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih